SEPANG: Rakyat Malaysia yang mempunyai perancangan untuk melawat Sudan diminta menangguhkan lawatan ke negara itu sehingga situasi konflik kembali pulih.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau turut meminta rakyat negara ini menyalurkan maklumat kepada Wisma Putra sekiranya ada ahli keluarga yang masih berada di Sudan.
“Kita ingin menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin atau ada perancangan melawat Sudan, hendaklah tangguh perjalanan sehingga keadaan kembali pulih,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyambut ketibaan 30 rakyat Malaysia di Sudan, hari ini.
Terdahulu, 30 rakyat Malaysia di Sudan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Saudi Airlines, SV834 dari Jeddah, Arab Saudi.
Zambry berkata, bagi rakyat Malaysia yang berkemungkinan masih ada di Sudan, Wisma Putra akan memantau perkembangan dan berusaha membawa mereka keluar dengan selamat.
“Itu komitmen kita, jika masih ada lagi rakyat kita di sana, namun setakat ini hanya 30 orang yang mendaftar untuk dibawa pulang selain dua rakyat kita di sana yang berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Ditanya kenapa misi menyelamat tidak menggunakan aset tentera negara seperti misi di Kaherah, Mesir dan Libya sebelum ini, Zambry berkata, ia tidak boleh dilakukan memandangkan keadaan konflik di Sudan berlaku secara tiba-tiba.
“Jika di Libya, kawasan peperangan berlaku di luar kawasan ibu kota, namun konflik di Sudan berlaku di ibu kota negara itu iaitu Khartoum.
“Keadaan itu menyebabkan semua pihak terpinga-pinga, tidak bersedia. Ia menyebabkan kerajaan perlu mengambil tindakan pantas bagi memastikan semua rakyat kita dikeluarkan segera.
“Kita menggunakan beberapa strategi dan pendekatan bagaimana hendak keluarkan, bukan hanya bergantung kepada satu pendekatan sahaja,” katanya.
Jelasnya lagi, operasi khas membawa keluar rakyat Malaysia di Sudan sudah dianggap selesai, namun kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa di negara itu.
Katanya, urusan Kedutaaan Malaysia di Sudan kini ditutup sementara dan akan dikendalikan secara pentadbiran dari Kaherah, Mesir. – UTUSAN