PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, PU Syed menegaskan setiap perintah Allah SWT yang dilaksanakan dan segala larangan yang ditinggalkan bukan sesuatu yang menjadi pilihan kepada setiap hambaNya.
Bahkan, jelasnya, ia adalah kewajipan untuk dilaksanakan melainkan jika ia ditinggalkan atau dilanggar disebabkan darurat.
“Ada artis cabut tudung dengan alasan tak nak hipokrit. Apa kamu ingat semua umat Islam yang sedang menutup aurat dengan sempurna sekarang ini hipokrit?
“Kamu bukan dalam pentas lakonan tetapi berada dalam dunia realiti,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook.
Dalam masa sama, Syed melabelkan individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai standard pemikiran liberal dan sesat kerana menyebabkan muncul golongan yang berani mempersendakan perintah dan larangan Allah.
Bagaimanapun, Syed mendoakan individu bergelar artis itu dibuka pintu hidayah untuk kembali berhijab.
“Semoga kamu kembali berhijab dan dikurniakan istiqamah buat kami semua,” katanya.
Pelakon, Alya Iman mencetuskan kontroversi selepas memuat naik hantaran tidak lagi bertudung sejak 1 Syawal lalu.
Anak kepada pelakon popular era 1980an, arwah Azmil Mustapha itu memberitahu dia tidak mahu hipokrit dan ingin menjadi diri sendiri menerusi penampilan baharu tersebut.