Tangani segera masalah projek rumah terbengkalai - Utusan Malaysia

Tangani segera masalah projek rumah terbengkalai

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa bimbang dengan situasi projek perumahan terbengkalai yang semakin meningkat di negara ini sehingga menjejaskan ramai pembeli rumah.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, sama ada perkara itu berpunca daripada faktor kewangan, ekonomi, dasar, salah urus atau sistem penyampaian, ia perlu ditangani dengan segera demi menjaga kepentingan pengguna.

Ujar beliau, perumahan merupakan keperluan asas bagi setiap orang, namun di negara ini kebanyakan harga rumah adalah di luar kemampuan majoriti penduduk.

Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan perlu mengawal projek perumahan awam dengan membina rumah yang sesuai untuk dihuni dan menyewakannya.

“Apa pun alasan dan sebab berlakunya projek perumahan terbengkalai, pembeli adalah orang pertama yang teraniaya, puluhan ribu ringgit membuat pinjaman bank, tetapi belum pun merasai nikmat untuk tinggal di dalamnya, bayaran bulanannya sudah pun bermula.

“Sehubungan itu, kita menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah dan tindakan yang lebih aktif dan berkesan bagi menangani masalah perumahan terbengkalai ini supaya pembeli rumah mendapat hak mereka yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir menjelaskan situasi sebagai ‘menggerunkan’ memandangkan bilangan projek perumahan bermasalah telah meningkat kepada lebih 1,007.

Menurut Jabatan Perumahan Negara, statistik projek-projek perumahan swasta sehingga 28 Februari lalu yang dikategorikan sebagai projek sakit ialah 436 projek dengan 70,154 unit rumah melibatkan 30,771 pembeli.

Bagi projek yang lewat pula, bilangan projeknya ialah 145 projek dengan 27,511 unit rumah melibatkan seramai 16,593 pembeli.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohideen berkata, permintaan untuk membeli rumah sebenarnya tidak pernah berkurangan sama ada rumah kos rendah, sederhana atau kos tinggi.

“Daripada iklan-iklan yang dikeluarkan, pembeli seperti tidak ada masalah apabila bank-bank mengeluarkan tawaran untuk membuat pinjaman.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ramai yang teraniaya, tertipu dan mengeluh apabila rumah yang mereka impikan itu tidak menjadi kenyataan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya