PETALING JAYA: Siasatan awal mendapati masih terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh di hadapan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, dekat sini, hari ini.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, keputusan sama ada lokasi berkenaan selamat diduduki akan dibincangkan pagi ini bersama agensi-agensi terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).
Kata beliau, kejadian semalam berkemungkinan berlaku akibat dua faktor iaitu takungan air dan paip bawah tanah yang pecah.
“Bagaimanapun, dapatan itu masih terlalu awal dan Unit Forensik Cerun, JKR masih menjalankan analisis mengenainya.
“Pemantauan yang dilakukan semalam mendapati wujud takungan air di luar pagar itu mungkin disebabkan hujan lebat sejak tiga hari lalu dan menyebabkan tanah di situ lembap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, JKR juga mengesan paip pecah di bawah tanah akademi itu dan kedua-dua faktor terbabit menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar seterusnya berlaku kejadian tanah runtuh.
“Semasa kejadian terdapat dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sedang bertugas di luar pagar akademi itu dan mereka tmendengar bunyi runtuhan tanah seterusnya melihat tanah di tepi pagar sudah runtuh.
“Anggota RELA terbabit kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan MACA dan sebaik sahaj mereka sampai, dalam sekelip mata berlaku runtuhan susulan dianggarkan seluas 30.48 x 36.57 meter persegi yang turut membabitkan pondok pengawal,” jelasnya.
Dalam pada itu, kakitangan Institut Integriti Malaysia (IIM) diarah bekerja dari rumah susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran MACA dan institut itu.
Kenyataan IIM malam tadi memaklumkan arahan itu dibuat atas faktor keselamatan dan berkuat kuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
“IIM sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa dalam kerja-kerja pemantauan di kawasan terbabit.
“Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang IIM (www.iim.gov.my) dan media-media sosial IIM untuk maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang semalam, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang juga petugas pentadbiran MACA dan IIM, yang terletak bersebelahan akademi itu, berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu, namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian itu membabitkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi. – UTUSAN