KUCHING: Sebidang tanah diperuntukkan bagi memperluaskan tanah perkuburan Islam Samariang yang mampu menampung permintaan sehingga tahun 2050.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju meluluskan sebidang tanah baharu bagi memperluaskan tanah perkuburan Islam Samariang.
“Kita juga sedang membangunkan tanah perkuburan di Matang, Bako, dan Santubong dengan struktur serta susun atur yang sama seperti yang telah dilakukan di tanah perkuburan Islam Samariang ini,” katanya dalam sidang selepas merasmikan Kompleks Tanah Perkuburan Islam Samariang (SICC) yang baharu (SICC) di sini hari ini.
Menurut Abang Johari, kawasan perkuburan Islam baharu juga sudah ada di Jalan Oya di Sibu untuk menampung keperluan penduduk setempat memandangkan tanah perkuburan di Masjid Al-Qadim hampir penuh.
“Perkara yang sama sedang dilaksanakan di kawasan Miri,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Abang Johari mendedahkan kerajaan Sarawak beriltizam menyeragamkan maklumat dan data tanah perkuburan Islam bagi memudahkan ahli keluarga mencari kubur ahli keluarga masing-masing.
Beliau juga berkata maklumat dan data itu nanti akan disimpan melalui platform digital.
“Dengan adanya laman web itu, kita akan tahu di mana tanah perkuburan nenek moyang kita disemadikan,” tambahnya.
Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching yang sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Pusara Islam Semariang atau Semariang Islamic Cemetery Complex (SICC), merupakan sebuah one-stop-centre bagi pengurusan jenazah yang dibangunkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), bertempat di Tanah Perkuburan Semariang. –utusan