PASIR SALAK: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sudah mengemukakan rayuan terhadap penggantungan keahliannya selama enam tahun dan mahu kembali aktif dalam parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk menerima rayuannya.
Menurutnya, jika rayuannya tidak diterima, beliau mungkin menyertai parti lain.
“Saya sudah buat rayuan dua tiga kali, terserah kepada pucuk pimpinan, kalau rayuan tak diterima, saya kenalah terima hakikat. Saya salah sebab saya lantang, itu sahaja kesalahan saya dan saya sudah pun minta maaf di atas kelantangan saya.
“Kalau boleh settle (selesai), yang sudah tu sudahlah, untuk UMNO buka buku baharu. Itu pendirian saya kalau parti mahu, tapi kalau tak mahu itu lain cerita. Kalau orang dah tak suka, saya cari ‘rumah’ lain, tiada masalah. Tak kan saya nak tengok dari luar sahaja.
“Saya nak settle secara baik, (saya harap) tarik baik (penggantungan keahlian), saya jadi ahli yang aktif semula,” katanya.
Tajuddin mendakwa, tindakan yang dikenakan terhadapnya adalah atas kesalahan yang tidak dilakukannya.
“Kalau kritikan (punca digantung keahlian) bagi saya ia bukan satu kesalahan, kritikan perlu, malah kritikan saya akhirnya terbukti jadi kenyataan apabila UMNO kalah, hanya dapat 26 kerusi, saya dah tegur awal, jadi saya tak boleh terima itu sebagai kesalahan,” katanya.
Sementara itu, mengenai majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak yang akan diadakan di sini pada Sabtu ini dijadual dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Tajuddin berkata, beliau akan hadir sekiranya dijemput.
“Saya mantan Ketua Bahagian, bukan sepenggal tapi selama 18 tahun, sebagai wakil rakyat selama tiga penggal.
“Kalau saya dijemput saya hadir, kalau tak dijemput maknanya tak hormat saya. Kalau tak dijemput buat apa saya datang,” katanya. – UTUSAN