Tahap simpanan ahli KWSP rendah dan sangat membimbangkan - Utusan Malaysia

Tahap simpanan ahli KWSP rendah dan sangat membimbangkan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 6.7 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu 51 peratus daripada 13.1 juta pencarum berusia bawah 55 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM10,000 atau kurang setakat 31 Disember 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1.7 juta atau 26 peratus adalah ahli berusia 40 tahun dan ke atas iaitu golongan yang bakal mencapai umur pengeluaran penuh simpanan KWSP dalam masa 15 tahun dan kurang.

“Bagi kumpulan ini, simpanan KWSP mereka hanya boleh memberikan pendapatan persaraan kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” katanya dalam jawapan bukan lisan di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak).

Terdahulu, Amirudin meminta Menteri Kewangan menyatakan kategori pencarum KWSP berdasarkan wang simpanan terkini dan berapakah daripada mereka yang terdedah akibat duit caruman tidak mencukupi menjelang umur persaraan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, setakat 31 Disember 2022, hanya 19 peratus daripada ahli KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur bagi membolehkan mempunyai simpanan RM240,000 pada usia 55 tahun.

Katanya, ini secara langsung menunjukkan bahawa 81 peratus ahli berusia 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah simpanan mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

“Jika dilihat pencapaian bagi ahli aktif formal pula, 30 peratus daripada ahli aktif formal yang mencarum telah mencapai tahap simpanan asas mengikut umur. Melihat kepada perspektif ahli yang bakal mencapai umur pengeluaran penuh KWSP dalam tempoh setahun iaitu ahli yang berumur 54 tahun, seramai 155,000 atau 56 peratus daripada 275,000 ahli dalam kumpulan umur ini mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 atau kurang.

“Jumlah RM50,000 ini hanya boleh memberikan pendapatan persaraan sekitar RM208 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” jelasnya.

Menurut Anwar, tahap simpanan ahli KWSP adalah rendah dan sangat membimbangkan terutamanya setelah pelaksanaan empat pengeluaran berkaitan Covid-19 iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.

Kata Perdana Menteri, secara keseluruhannya sebanyak RM145 bilion telah dikeluarkan oleh seramai 8.1 juta ahli di bawah keempat-empat program pengeluaran ini.

“Selain impak daripada pengeluaran-pengeluaran tersebut, antara faktor lain yang turut menyumbang kepada jumlah simpanan persaraan yang rendah ialah tahap gaji yang rendah, caruman yang tidak konsisten, pengeluaran pra persaraan daripada Akaun 2 dan kadar kesedaran perancangan persaraan serta celik kewangan yang rendah,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya