KULAI: Syarikat produksi serta individu yang terus berdegil dan enggan memenuhi tuntutan pembayaran semula geran pemberian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan disenarai hitam daripada sebarang bentuk bantuan masa depan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, setakat ini, hanya tiga daripada 47 syarikat atau individu yang menerima tuntutan tersebut telah membuat pembayaran semula.
Katanya, jika pihak berkenaan terus ingkar, tindakan saman akan dibuat mengikut lunas undang-undang.
“Kami sokong tindakan Finas mengeluarkan saman, kesemua 47 pihak itu telah menerima ‘letter of demand’ di mana tiga daripadanya telah menyelesaikan tuntutan tersebut. Tindakan mereka itu membuktikan mereka mengakui kesalahan.
“Manakala bagi mereka yang tidak memberikan apa-apa jawapan dalam tempoh masa diberi, Finas akan meneruskan tindakan undang-undang dan bawa mereka ke mahkamah.
“Hal itu kerana dana yang diterima menerusi geran tersebut adalah duit rakyat yang bertujuan membantu produksi tempatan mengembangkan industri perfileman negara,” katanya ketika diminta mengulas berhubung penyelewengan dana Finas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Baju Raya Sempena Program Cahaya Ramadan Bersama Telekom Malaysia (TM) di pusat beli belah Mydin Mall Kulai, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Shahar dan Pengarah TM Johor, Md. Naziruddin Abd. Moez.
Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut memberitahu, kementerian juga telah meminta Finas untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) pemberian geran agar ia tidak lagi diseleweng pada masa akan datang.
“Kerajaan tidak akan memansuhkan dana tersebut hanya kerana wujud penyalahgunaan, namun kami meminta mereka untuk melakukan penambahbaikan terhadap SOP pemberian dana tersebut.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan dana filem sebanyak RM20 juta yang diberi kepada syarikat produksi didakwa telah diseleweng untuk kepentingan peribadi termasuk membeli rumah dan percutian mewah. – UTUSAN