PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperhalusi cadangan bagi melaksanakan pensijilan makanan selamat sebagai syarat perkhidmatan pembekalan makanan semasa mesyuarat dan majlis rasmi di semua fasiliti kementerian di Putrajaya.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu perlu diteliti sebelum tindakan selanjutnya dilaksanakan sebagaimana diusulkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan Keenam Belas (MKMPK-16) di KKM semalam.
“Mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan, sistem pemantauan secara dalam talian bagi Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (MS-NPANM) dan pelaksanaan perjanjian peringkat ASEAN berkaitan pemeriksaan dan pensijilan bagi produk makanan.
“(Selain itu turut dibincangkan) pewartaan akuan nutrien baharu bagi asid lemak trans dan akuan fungsi baharu bagi antioksidan daripada minyak sawit serta komitmen industri dalam penghasilan produk makanan dengan pilihan lebih sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Dr. Zaliha itu turut dihadiri Timbalannya, 18 wakil kementerian atau agensi dan empat wakil pertubuhan bukan kerajaan iaitu Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO).
Zaliha berkata, mesyuarat turut diberitahu bahawa pihak KKM telah menghasilkan Pelan Strategik Mengurangkan Gula dalam Kalangan Rakyat Malaysia (2023-2025) yang akan melibatkan tindakan multi-sektoral.
Katanya, mesyuarat ini akan dijadikan platform tepat untuk perbincangan dan penyelarasan aktiviti bagi menangani isu-isu terkini keselamatan makanan dan pemakanan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan bagi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN