SWCorp - JAWI meterai MoU bersih 845 masjid, surau

SWCorp – JAWI meterai MoU bersih 845 masjid, surau

MOHD. Na'im Mokhtar dan Nga Kor Ming menyaksikan MoU antara JAWI dan SWCorp di KPKT, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Sebanyak 845 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan dilibatkan menerusi program pembersihan dan tangani pembaziran.

Program itu hasil kerjasama antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program sama turut diperluaskan kepada 62 buah sekolah agama dan tahfiz yang berdaftar.

Beliau berkata, kerjasama itu akan dilaksanakan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara SWCorp dan JAWI yang dimeterai hari ini.

“Program pembersihan dan tangani pembaziran itu adalah antara lima inisiatif yang dimeterai selain pelaksanaan tandas di masjid dan surau bertaraf BMW (bersih, menawan dan wangi), pembinaan pusat kitar semula pandu lalu (DRTC) dan pelaksanaan Pejabat dan Premis JAWI Sifar Sisa (PESIS).

“Kerjasama itu selaras mencapai sasaran 100 DTRC menjelang 2024,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, MoU sama juga akan melibatkan sekolah seliaan JAWI dalam aktiviti dan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PERKISS) serta pengenalan konsep kebersihan, kitar semula, dan elak pembaziran dalam kursus pra-perkahwinan.

Kor Ming berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia untuk menambah kategori masjid dan surau bagi merebut gelaran anugerah ‘Toilet Of The Year’

Pada masa sama, Kor Ming berkata, program dan MoU sama akan diperluaskan kepada rumah ibadat lain termasuk gereja, kuil dan tokong cina pada masa depan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerjasama antara SWCorp dan JAWI akan dilaksanakan dengan jayanya supaya model itu dapat diperluaskan ke seluruh negara termasuk di masjid dan surau di peringkat negeri.

Beliau berkata, pelbagai langkah diambil oleh JAWI memastikan aspek kebersihan tandas di tandas-tandas masjid dan surau termasuk pemeriksaan mengejut dan penganjuran pertandingan masjid dan surau bersih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya