KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di Ladang, di sini, pagi ini.
Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bersama anakanda Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan beberapa pemimpin negeri turut mengiringi baginda
Solat sunat yang dihadiri lebih 3,000 rakyat jelata diimamkan Mufti Terengganu, Dr. Mohamad Sabri Haron.
Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Ismail meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bersalaman dengan jemaah.
Selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri dan bersalaman dengan jemaah, Sultan Mizan serta Tengku Muhammad Ismail menziarah makam diraja yang terletak di pekarangan masjid sebelum berangkat pulang. – UTUSAN