Sultan Selangor bimbang perpecahan dalam kalangan orang Melayu - Utusan Malaysia

Sultan Selangor bimbang perpecahan dalam kalangan orang Melayu

Perpecahan Melayu
SULTAN Sharafuddin Idris Shah menyampaikan sumbangan kepada 478 asnaf penduduk Kampung Parit Baru pada Majlis Perasmian Masjid dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Ma'arufiah, Sungai Air Tawar di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah zahir kebimbangan terhadap perbezaan fahaman politik di negara ini yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Baginda menegaskan situasi perpecahan akibat perbezaan fahaman politik itu berlaku walaupun asas parti-partinya mempunyai matlamat yang sama iaitu mendaulatkan Islam dan mempertahankan hak-hak dan kepentingan orang Melayu.

“Beta bimbang jika sekiranya perpecahan ini dibiarkan berterusan, umat Islam khususnya orang Melayu di negara ini akan terus lemah dan nescaya di satu hari nanti akan hilang kuasa memerintah, malah akan menjadi satu bangsa yang mundur dan terpinggir di tanah air sendiri.

“Peristiwa yang berlaku di beberapa negara Islam terutamanya di Timur Tengah dan sejarah keruntuhan Kerajaan Melayu Melaka juga boleh diambil iktibar dan tauladan bagi menunjukkan bahawa sesebuah kerajaan yang hebat juga boleh runtuh akibat perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar dulu hadir Majlis Perasmian Masjid dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya dekat Masjid Ma’arufiah Kampung Parit Baru, Sungai Air Tawar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.

Dalam titah sama, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan nazir dan imam masjid dan surau di negeri ini supaya memandang serius institusi itu berperanan sebagai pusat perpaduan umat Islam melalui ibadah, dakwah, pengajian dan program kemasyarakatan.

Malah, Sultan Selangor turut mengingatkan supaya program-program tersebut tidak dipergunakan untuk kepentingan golongan-golongan tertentu.

Dalam pada itu, baginda turut menyentuh  Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan berlangsung pada Jun atau Julai ini dengan menasihatkan rakyat memilih pemimpin amanah, bertanggungjawab dan tidak mengamalkan rasuah.

“Beta juga mengingatkan semua pihak agar berhemah semasa berkempen dan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Elakkan dari perbuatan fitnah-memfitnah serta menyebarkan berita-berita palsu, menghasut rakyat untuk membenci terhadap mana-mana pihak atau pun mana-mana kerajaan ketika tempoh kempen pilihan raya diadakan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya