SUNGGUH, perpisahan atau perceraian bukanlah sesuatu yang harus diketawakan atau dijenakakan.
Kerana jika kita tidak berada di dalam kasut mereka yang terlibat, kita tak akan pernah tahu apa sebenarnya yang dirasakan dan dipendamkan. Raut wajah mungkin dapat menyembunyikan seribu satu rahsia yang dipendam.
Tetapi, hakikatnya, tiada siapa yang mahukan perpisahan apatah sudah bertahun lamanya membina rumah tangga bersama, diserikan lagi dengan kehadiran zuriat yang mungkin belum mengerti apa-apa tentang apa yang sedang berlaku.
Namun, ketentuan mengenai sejauh mana cerita sensasi yang melanda rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul telah pun kita ketahui akhirnya.
Kalau selama ini, begitu ramai yang meluahkan pandangan dan hukuman sendiri tentang kedua-dua mereka di media sosial, rasanya sudah sampai masanya untuk kita semua meletakkan noktah untuk meleraikan kekusutan yang terjadi.
Kenapa Cik Bunga kata begitu? Iyalah, dalam proses nak tahu pengakhiran jalan cerita mereka berdua ini, ada juga kalangan peminat dan netizen yang terlalu berharap agar Syamsul menceraikan Ira Kazar dan kekal bersama Puteri Sarah, isterinya yang pertama.
Pendek kata, mereka pula yang letakkan plot cerita untuk kisah rumah tangga artis ini seolah-olah mereka yang lalui hidup mereka sehari-harian. Aduhai, kita ini hanya manusia yang mampu merancang. Tuhan yang lebih tahu. Maka siapa kita untuk berlagak lebih tahu, bukan?
Bagi Cik Bunga, selepas noktah yang diletakkan untuk rumah tangga mereka ini, kita harap tak adalah lagi mana-mana netizen ‘menyerang’ Syamsul atau Puteri Sarah dengan sebarang niat yang tidak baik.
Bukan apa, masing-masing pun sudah bawa haluan sendiri selepas ini, janganlah kita yang sibuk nak menentukan apa yang patut mereka buat, nak bersama dengan siapa atau apa.
Itu hak merekalah. Lagipun, masing-masing berhak untuk mencipta kebahagiaan diri sendiri. Lebih baik kita pun sama sibuk cipta bahagia dengan cara sendiri. Betul tak?
Buat Syamsul dan Puteri Sarah, Cik Bunga doakan semoga kalian semakin tenang selepas ribut taufan yang melanda sebelum ini. Teruslah berbaik demi anak-anak yang tentunya perlukan kasih sayang penuh daripada kalian.