Suami isteri maut, anak cedera kereta bertembung bas ekspres - Utusan Malaysia

Suami isteri maut, anak cedera kereta bertembung bas ekspres

KEADAAN kereta Perodua Myvi dipandu Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong yang remuk selepas bertembung dengan bas ekspres di Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sepasang suami isteri maut manakala anak perempuan mereka cedera selepas kereta dinaiki keluarga itu bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Ikan, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut adalah pemandu kereta jenis Perodua Myvi,  Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isterinya, Siti Faridaf Ahmad, 46, dari Felda Belara, di sini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail, pemandu serta tujuh penumpang bas turut tercedera dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Hospital Setiu dekat sini.

Beliau berkata, kejadian kira-kira pukul 12.55 tengah hari itu berlaku ketika bas ekspres tersebut dengan 30 penumpang termasuk pemandu dan kelindan menuju Kuantan, Pahang dari arah Kota Bharu, Kelantan

“Sebaik tiba di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Sungai Ikan, kereta dipandu Che Ku Yusoff Ali dari arah bertentangan telah masuk ke laluan bas ekspres.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu bas ekspres berusia 51 tahun gagal mengelak lalu bertembung dengan kereta Perodua Myvi dinaiki keluarga malang tersebut.

“Pemandu dan penumpang kereta yang juga suami isteri maut di tempat kejadian manakala anak perempuan berumur 18 tahun dirawat di HSNZ,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Mohd. Zaki menambah, pemandu bas ekspres terbabit juga mendapat rawatan di HSNZ, sementara tujuh orang penumpang dibawa ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya