SHAH ALAM: Umat Islam di negeri ini diseru mengadakan solat hajat pada hari Jumaat esok untuk mendoakan keselamatan kepada rakyat Palestin yang berterusan diasak dengan tindakan keganasan rejim Israel.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan keganasan tersebut kerap berulang terutama pada bulan Ramadan, sama seperti pada April tahun lalu.
“Sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan ini, seluruh masjid dan surau di Selangor akan melaksanakan solat hajat seusai solat Jumaat minggu ini untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bagi warga Palestin agar Allah SWT. melindungi mereka.
“Kerajaan Selangor menyatakan solidariti bersama warga Palestin dan mengajak pemimpin seluruh dunia untuk bersama-sama mengutuk dan mengecam serangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Terdahulu, polis Israel menyerang dan menangkap lebih 400 jemaah Palestin dalam serbuan ganas di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
Menurut pegawai tempatan, ratusan rakyat negara itu ditangkap awal pagi tadi dan ditahan di balai polis di Atarot di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki selepas polis Israel menyerang para jemaah konon untuk menahan pemberontak bertopeng yang mengunci diri di dalam masjid itu dengan bunga api, kayu dan batu.
Saksi Palestin berkata, polis Israel menggunakan kekerasan yang berlebihan apabila mereka mula melempar bom tangan dan gas pemedih mata ke arah para jemaah yang sedang menunaikan solat dan bertadarus al-Quran.
Serbuan berterusan sehingga pagi Rabu apabila tentera Israel sekali lagi dilihat menyerang dan menolak penduduk Palestin keluar dari perkarangan masjid dan menghalang mereka daripada solat, sebelum orang Israel dibenarkan masuk di bawah perlindungan polis.
Justeru, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya kekerasan oleh Israel sehingga menyebabkan kecederaan kepada sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin serta menahan lebih 350 rakyat Palestin.
“Tindakan kejam yang tidak berperikemanusiaan ini diaturkan ketika jemaah di sana menunaikan solat di Masjid Al Aqsa pada hari Rabu yang lepas.
“Tindakan provokasi yang menyalahi undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia, terutamanya pada bulan yang penuh mustajab ini,” tegasnya. – UTUSAN