BAGI pelakon berbakat besar, Syafie Naswip, 30, bentuk solekan yang diperlukan untuk satu-satu watak terletak pada ketentuan yang diputuskan oleh pengarah atau penerbit sesebuah drama atau filem.
Justeru katanya, solekan yang tidak bersesuaian dengan babak tidak menjadi isu besar sekiranya ia dibenarkan pengarah atau penerbit berkenaan.
“Isu ini sudah lama diperkatakan. Pada saya, ia berbalik kepada pengarah dan penerbit.
“Kalau itu (solekan tebal) yang mereka mahukan, maka ia akan kelihatan seperti itu. Begitu juga sebaliknya.
“Pokok pangkal, masalah solekan berlebihan dalam drama tidak berlaku kalau pengarah dan penerbit tidak bersetuju,” ulasnya.
Pelakon drama Nenek Bongkok Tiga ini tidak menafikan isu tersebut sering berlaku di set penggambaran.
Namun katanya, dia harus bersikap profesional dan tidak mencampuri urusan pelakon lain.
“Masalah solekan tebal dan tidak bersesuaian dengan watak ini memang selalu sahaja berlaku.
Tetapi, saya tak ikut campur, hanya buat kerja saya.
“Memanglah timbul sedikit kehairanan bila kita melihat pelakon yang berlakon dengan kita solekannya berlebihan dan tak sesuai dengan watak yang dibawakannya.
“Kalau itu yang dibenarkan pengarah atau penerbit, kita terima dan buat kerja kita sahaja,” katanya lagi.