Sisa makanan meningkat 12.9 tan sehari di Perlis

Sisa makanan meningkat 12.9 tan sehari di Perlis

FAKHRUL Anwar Ismail (empat dari kiri) melawat salah sebuah gerai di bazar Ramadan Arau sempena Program Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Ramadan di bazar Ramadan Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Janaan sisa makanan di tapak pelupusan sampah sekitar negeri ini bagi tempoh dua minggu Ramadan meningkat sebanyak 12.9 tan metrik sehari meliputi jumlah 21.53 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Secara purata, sebanyak 0.384 tan metrik sisa makanan dibuang ke tapak pelupusan dalam masa sehari dan mampu menampung hampir 1,280 orang dengan hidangan seberat 300 gram.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, sisa makanan merupakan penyumbang utama di tapak pelupusan sampah dan turut menjadi penyebab kepada pengeluar gas rumah hijau (GHG) ketiga terbesar di Malaysia.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan membuat perancangan awal sebelum ke bazar Ramadan dan bersederhana dalam penyediaan makanan,” katanya dalam Program Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Sempena Bulan Ramadan 2023 di Bazar Arau, semalam.

Dalam pada itu, Fakhrul Anwar berkata, SWCorp melalui syarikat konsesi E-Idaman Sdn Bhd turut merancang operasi khas bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, operasi tersebut melibatkan kutipan sampah pukal khas seminggu sebelum sambutan perayaan berkenaan di samping penukaran tong sampah berkapasiti 1,100 liter kepada tong roll on roll off (roro) melibatkan 12 lokasi ‘hotspot’ yang dikenal pasti menjana kadar  jumlah sampah tinggi.

“Rondaan secara berkala juga akan dilaksanakan oleh SWCorp bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan terkawal,” katanya.

Mengenai kempen berkenaan, Fakhrul Anwar berkata, insiatif itu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada peniaga dan pengunjung supaya mengelakkan pembaziran makanan sewaktu penyediaan juadah berbuka puasa di samping memastikan pengguna dapat berbelanja mengikut keperluan.

Dalam pada itu, program MySavefood selama tujuh hari bermula 31 Mac sehingga 10 April bertujuan bagi menyelamatkan lebihan makanan yang masih elok dan tidak terjual di bazar Ramadan untuk diagihkan kepada pihak memerlukan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan program itu, sebanyak 84.804 kilogram makanan dan 90.456 kilogram minuman telah berjaya diselamatkan dan diagihkan kepada penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau.

“Kempen sebegini perlu dibudayakan bukan sahaja dalam tempoh perayaan namun harus diteruskan pada masa hadapan bagi mengelakkan pembaziran makanan berlaku,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya