PETALING JAYA: Hubungan penyanyi, Shila Amzah dengan pempengaruh media sosial, Ubai dilihat semakin rapat selepas Shila membawa kekasihnya berjumpa dengan ibunya, Fauziah Sarman di sebuah restoran, semalam.
Difahamkan, Ubai berbuka puasa bersama Shila dan adik-beradik lain menerusi Instagram Story.
Perkongsian itu sekali gus menunjukkan kemesraan antara mereka dan Ubai dilihat selesa bersama bakal keluarga mentuanya sekiranya bernikah kelak.
Kelmarin, Shila turut memuat naik video berkunjung ke kedai barangan kemas bersama Ubai dan dikatakan sudah membeli ‘cincin tanda’.
Awal bulan lalu, Shila membuat pengakuan sedang menjalin hubungan cinta dengan Ubai.
Pada 2018, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias, namun tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang sudah berusia dua tahun.