Serangan gajah liar jejas hasil pertanian - Utusan Malaysia

Serangan gajah liar jejas hasil pertanian

PENDUDUK kampung menunjukkan hasil tanaman mereka yang rosak teruk didakwa angkara sekumpulan gajah liar yang berkeliaran dan turut mencetuskan kebimbangan orang ramai di Kampung Pinang dan Kampung Tong Pelu, Pedu di Padang Terap. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Lebih 30 peserta Tanam Semula Berkelompok (TSB) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Kampung Pinang, Pedu di sini berdepan cabaran besar dalam mencari rezeki apabila tanaman mereka sering dirosakkan kawanan gajah liar di kawasan tersebut.

Selain kehilangan pendapa­tan akibat tanaman seperti getah, kelapa sawit, kelapa dan pisang musnah, kalangan pekebun bimbang keselamatan mereka setiap kali ke kebun memandangkan gajah-gajah itu kelihatan agresif.

Seorang penduduk, Moha­mad Shaari, 50, berkata, mereka buntu memikirkan masalah tersebut yang sudah berlarutan selama lima bulan tanpa sebarang penyelesaian daripada pihak berkaitan.

“Sebelum ini Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada datang menghalau gajah-gajah itu masuk ke hutan tetapi tak berapa lama kemudian ia datang semula.

“Penduduk kampung risau nak ke kebun dan tidak lagi sanggup menoreh getah. Dalam ke­adaan kita hendak menyambut Aidilfitri, sudah tentu ke­a­daan ini sangat memberi kesan terhadap pendapatan kami.

“Harap ada penyelesaian terhadap isu ini. Paling kami bimbangkan, tidak mustahil satu hari nanti gajah-gajah ini merentas Sungai Pedu dan mendekati kediaman penduduk sekiranya air menjadi cetek berikutan air Empangan Pedu tak dilepaskan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Mohd. Shabari Abdul Rahman, 54, berkata, dia kerap terserempak dengan haiwan tersebut setiap kali ke kebun hingga menimbulkan rasa tidak selamat.

“Sebagai penduduk kampung, kami memohon juga kepada kerajaan untuk memberi saguhati kepada pekebun yang terjejas akibat insiden ini. Kami sudah lama ternanti-nanti agar tanaman ini mendatangkan ha­sil namun hanya dalam tempoh semalaman, habis semuanya dirosakkan gajah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya