KUALA NERUS: Penyerang import, Jordan Mintah mula menemui sentuhan tajam apabila membantu Terengganu FC (TFC) mengalahkan Kuching City 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, malam tadi.
Kemenangan ketiga berturut-turut itu turut membantu Sang Penyu mengutip mata ke-13 di tangga keenam untuk terus memberi tekanan kepada kelompok atasan Liga Super.
Awal permainan menyaksikan penjaga gol pelawat, Julian Schwarzer bekerja keras menepis percubaan Adisak Kraisorn minit keempat serta sepakan percuma Ivan Mamut (m-13).
TFC dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-19 setelah Azam Azmi Murad dikasari malangnya sepakan Habib Haroon terkena tiang ketika Schwarzer sudah tertewas.
Serangan berterusan akhirnya berhasil selepas Mintah menyudahkan dengan baik hantaran leret Adisak dari sebelah kanan pada minit ke-22 untuk gol pembukaan TFC.
Tuan rumah meningkatkan penguasaan namun rembatan Mamut menggegar tiang gol pada minit ke-34 sebelum percubaan Mohd. Faiz Nasir dinafikan penjaga gol seminit kemudian.
Aksi selepas rehat terus milik TFC dengan Mintah mencetak gol kedua peribadi dan pasukannya pada minit ke-53 menerusi percubaan voli dari dalam kotak penalti sekaligus menjadikan kedudukan 2-0.
TFC berpeluang menang lebih selesa namun Mohd. Syafik Ismail mensia-siakan peluang pada minit ke-61 dan ke-74 apabila gagal menewaskan penjaga gol lawan dalam situasi satu lawan satu.
Hasrat Kuching City memperoleh gol saguhati tidak kesampaian apabila sepakan Mohd. Alif Hassan (m-79) ditepis keluar dan kedudukan 2-0 memihak TFC kekal sehingga tamat. – UTUSAN