SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akui terdapat keperluan untuk membina lebih banyak sekolah di negeri tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hal ini disebabkan pertambahan penduduk di negeri berkenaan dengan unjuran menunjukkan trend pertambahan pada setiap tahun.
“Selain Kota Kemuning, Klang, Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa dan Hulu Langat antara kawasan yang amat memerlukan sekolah baharu dibina disebabkan penduduk di semua kawasan tersebut yang semakin ramai.
“Malah, kerajaan negeri menyediakan beberapa tapak bagi tujuan pembinaan sekolah sejak beberapa tahun lalu,” katanya selepas majlis perasmian Pusat Setempat (OSC) Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Hari Tanpa Tunai bagi Pentadbiran Tanah Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini, hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan rintihan sebahagian penduduk Kota Kemuning, di sini, yang meminta Kerajaan Pusat membina sebuah lagi sekolah menengah di kawasan tersebut.
Timbalan Presiden Penduduk Kota Kemuning (PPKK) A. Rajan berkata, keperluan bagi membina sekolah menengah baharu itu berdasarkan jumlah murid peringkat menengah yang tinggal di Kota Kemuning semakin ramai.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lima buah tapak di Shah Alam bagi membina sekolah baharu di kawasan tersebut, namun tidak ada satu sekolah pun yang dibina di tapak berkenaan.
“Ini menyebabkan ada penduduk di Shah Alam terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah di luar Shah Alam kerana sekolah yang berdekatan rumah mereka sudah pun penuh.
Kita sedia maklum KPM kini sedang fokus memperbaiki sekolah daif yang mereka letakkan sebagai urusan utama dalam Belanjawan 2023. Namun, saya sebelum ini berjumpa dengan KPM memaklumkan Selangor perlu lebih banyak sekolah,” ujarnya. – UTUSAN