KOTA BHARU: Matanya ‘berkaca’, kali ini bukan kerana terkenang kesusahan hidup yang terpaksa diharungi bersama isteri dan empat anak masing-masing berusia antara 12 hingga setahun.
Sebaliknya, dia sebak selepas menerima sumbangan pakaian dan kelengkapan diri dari Mz Gold. Sdn. Bhd. untuk menyambut kedatangan 1 Syawal tidak lama lagi.
Jesteru, tiada perkataan mampu diungkapkan Mohamad Shauti Zakaria, 41, selepas lima tahun tidak mengenakan pakaian baharu setelah hilang upaya untuk bekerja akibat penyakit kencing manis kronik manakala isterinya, Kalmilah Che Hussin, 38, patah kaki kanan akibat terjatuh semasa banjir Disember tahun lalu.
Mohamad Shauti dari Kampung Serungga, Gual Periuk berkata, situasi itu membuatkan dia dan isteri hanya memberi keutamaan kepada persiapan Aidilfitri untuk anak-anak.
“Alhamdulillah, walaupun serba sederhana, namun anak-anak faham kesempitan hidup yang dialami.
“Sebab itulah, saya dan isteri berusaha menyediakan kelengkapan hari raya walaupun secara sederhana. Bagi saya dan isteri ‘kegembiraan’ untuk anak-anak lebih penting agar mereka tidak ‘kekok’ untuk beraya bersama kawan-kawan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Menurut Mohamad Shauti, sumbangan pakaian raya untuknya dan isteri serta anak mereka disifatkan sebagai anugerah Syawal.
Katanya, sumbangan menjadikan sambutan Syawal buat dia dan isteri menjadi lebih meriah.
“Bukan tidak mampu untuk membeli pakaian baharu, namun saya dan isteri memberikan keutamaan kepada perkara lebih penting,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mz Gold Sdn. Bhd., Murtadhatumizi Mustapha berkata, sumbangan itu adalah salah satu khidmat sosial pihaknya membantu golongan yang memerlukannya.
“Saya harap sumbangan ini dapat memberikan kegembiraan kepada mereka untuk menyambut lebaran,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, dua anak pasangan itu terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah disebabkan kekurangan belanja.
Nurul Syazwani, 12, dan adiknya, Nurul Hasanah, 10, berbuat demikian ekoran masalah kesihatan dihadapi Mohamad Shauti dan Kalmilah.
Mereka yang ingin menyumbang boleh salurkan kepada nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Kalmilah Che Hussin di nombor 03027020932184. – UTUSAN