PERKONGSIAN momen menyambut raya pelakon, Reen Rahim yang pertama kali meraikannya bersama keluarga mentua mendapat reaksi positif peminat. Ramai yang suka dengan gelagat dan aksi santainya bersama suami.
Namun kecoh pula tiba-tiba Reen memuat naik video kononnya ada ‘penyondol’ yang cuba masuk jarum dalam hubungan mereka. Tetapi itu rupanya sekadar satu gurauan.
Ada yang menerima itu sebagai gurauan tetapi ada juga yang jelik. Malah sikap kasar dan santai Reen juga menjadi buah mulut segelintir netizen yang kurang berkenan. Jawablah! mendapatkan Reen!
SERONOK nampaknya Reen beraya di rumah mentua. Bagaimana sambutan lebaran kali ini? Mesti ada bezanya, maklumlah tahun pertama beraya sebagai isteri orang.
Seronok sangat, Alhamdulillah. Tak rasa terasing, tak rasa seperti menantu baharu masuk rumah.
Saya rasa seperti anak mereka sendiri. Sambutan lebaran pun sangat meriah, berbeza itu memang lah ada.
Tetapi rezeki saya dapat suami dan keluarga mentua yang baik. Saya pun tak perlu bertukar jadi orang lain, tak perlu nak plastik. Saya seronok bila diterima seadanya.
Dalam kemeriahan lebaran, ramai terkejut bila tiba-tiba Reen reveal ada ‘penyondol’ menerusi video yang dimuat naik. Sudahlah isu sensitif sekarang. Rupanya gurauan. Komen sikit bila ada yang triggered?
Mungkin nampak sebagai gurauan, tetapi itu adalah realiti yang berlaku sekarang. Minta jauh tetapi saya ini susah hendak percaya dengan orang.
Nampak baik, belum tentu hatinya sama murni. Kadang-kadang yang rapat, dekat dengan kita itu juga boleh menikam belakang.
Saya sekadar berkongsi pandangan dan nasihat untuk diri sendiri serta peminat, walaupun dalam bentuk bergurau.
Bila tengok gambar dan video Reen serta suami, nampak kamu berdua macam ‘sempoi’ sahaja. Ramai yang suka tengok pasangan santai dan periang. Apa komen Reen bila ramai memuji?
Ada segelintir anggap media sosial adalah dunia tipu-tipu. Tetapi saya jujur, berkongsi momen dan diari kehidupan.
Walaupun tidak semua, tetapi itu adalah diri saya sendiri. Momen bekerja, bersama keluarga itu yang saya kongsi. Jika ada yang suka dan terinspirasi, Alhamdulillah.
Tetapi saya kongsi bukan untuk dipuji. Saya mahu kita samasama jujur dalam setiap apa yang kita kongsi.
Ada yang bila tengok video dan gambar saya kongsi, mereka suka dan ikuti. Sebab itu, saya suka sebarkan positiviti. Perkara negatif, kita tolak tepi. Kita fokus kepada yang baik-baik sahaja.
Dalam pada yang memuji, ada juga mencelanya. Ada yang kata Reen terlalu sempoi, macam tak ada lemah lembutnya, kasar semacam. Sedangkan itu adalah Reen. Apa jawapan Reen bila orang kata gitu?
Saya hidup bukan untuk puaskan hati sesiapa. Saya tidak ikut telunjuk orang di luar sana yang mungkin merasakan kehidupan dan peribadi mereka sempurna.
Saya cuma jadi diri sendiri, tidak kisah jika ada yang tak suka. Ada yang cakap saya ini kasar dan ganas orangnya, adakah itu menyusahkan hidup anda yang mengecam? Tidak bukan.
Jika tidak suka, ada banyak pilihan. Antaranya diam sahaja. Tidak perlu kecam.
Boleh kongsikan perkembangan kerjaya seni sekarang? Sejak bergelar isteri, adakah Reen mengurangkan terima tawaran berlakon? Fokus keluarga mungkin?
Filem hari raya saya, Sumpahan Malam Raya sedang ditayangkan di pawagam sekarang. Peminat filem tempatan boleh datang beramai-ramai sokong karya arahan Profesor A. Razak Mohaideen itu.
Sekarang tidak ramai penerbit yang berani terbitkan filem raya, jadi inilah masanya untuk kita sokong filem tempatan. Saya juga sedang sibuk dengan beberapa penggambaran, cuma tidaklah ambil semua. Kita tengok juga skrip, watak dan jalan cerita.