ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau akan tetap menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’ 23) sama ada dijemput atau tidak oleh Kerajaan Persekutuan.
Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak kisah sekiranya perlu menghadiri acara itu sebagai pengunjung biasa apatah lagi semua persediaan termasuk penginapan dan pengangkutan sudah dipersiap lebih awal.
“Kalau tak dijemput pun saya akan bawa teropong pi duduk tepi pagar lapangan terbang. Kita tengok kapal laut, kapal terbang sebagai pengunjung, tak kan mereka nak halau, lagi pun tepi pagar itu ada orang jual laksa
“Kalau tidak dijemput saya akan hadir sebagai pengunjung sebab hotel semua saya sudah tempah awal kerana LIMA’ 23 itu acara besar. Kalau tempah lambat hotel tak ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Muhammad Sanusi pada minggu lepas mendakwa beliau dilarang menyertai sebarang majlis anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk menghadiri LIMA’ 23 yang berlangsung 23 hingga 27 Mei depan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari baru-baru ini bagaimanapun menegaskan Kerajaan Persekutuan tiada sebarang larangan untuk Menteri Besar itu menghadiri acara berkenaan.
Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tetap beranggapan bahawa terdapat larangan untuk beliau menghadiri program atau acara Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Cuma kerana takut menjadi kecaman maka mereka buat-buat macam tak ada (larangan) lah sebab pegawai saya tengok (surat pekeliling) itu. Benda itu ada tapi oleh kerana benda itu sulit orang susah nak dapat jadi dia pun kata tak ada, tak apalah tak ada pun,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menganggap dirinya sering menjadi sasaran pihak lawan termasuk barisan Kabinet kerana beliau seorang ‘fighter’ apabila pelbagai isu dibangkitkan di Dewan Rakyat termasuk berkaitan tanah rizab Melayu seolah-olah mahu menggambarkan kerajaan negeri mengabaikan kepentingannya.
“Ada orang orang di Kuala Lumpur dan Selangor tanya saya pasal apa Menteri Besar Kedah jadi sasaran ‘tembakan’ di Parlimen, saya kata saya ‘fighter’ jadi orang yang tidak ditembak itu bukan ‘fighter’ lah jadi orang tak ada apa nak cari gaduh.
“Saya ni sebab orang cari pasal baru saya jawab macam tanah rizab Melayu itu satu usaha cari pasal bagi memberi gambaran buruk kepada kerajaan negeri seolah-olah kita ini mengabaikan kepentingan tanah rizab Melayu sehingga hilang 5,100 hektar tak diganti padahal benda itu tak berlaku,” katanya.
Beliau bagaimanapun lega kerana kekhilafan tersebut dapat dipatahkan dengan kebenaran daripada Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Kedah.
“Saya ucap terima kasih, itu gunanya menang 14-1 (Parlimen). Kalau menang 15 kosong lagi bagus. Tak sempat orang nak kona (pusing) panjang sangat. Kona sikit terus orang betul. Saya ucap terima kasih lah kepada Kerajaan Persekutuan beri perhatian kepada Kedah,” katanya. –UTUSAN