PETALING JAYA: Penyanyi, Sufian Suhaimi menolak persepsi segelintir pihak yang menganggap tindakannya merahsiakan kekasih hati adalah disebabkan kegagalan cinta dahulu.
Jelas penyanyi Di Matamu itu, dia lebih senang untuk tidak berlalu mencanang kisah peribadi dan menghormati privasi kekasih hatinya yang merupakan seorang pelajar berusia 23 tahun.
“Bukanlah saya serik dengan pengalaman lalu sehingga tidak mendedahkan mengenai si dia, cuma saya ingin menghormati kehidupan masing-masing terutama dia.
“Lagipun si dia juga tidak selesa kalau ramai yang mengenali dirinya dan menjadi tumpuan umum. Saya mahu menjaga dan menghormati privasinya,” katanya yang memilih untuk merahsiakan identiti gadis tersebut.
Mengakui memanggil kekasih hatinya dengan panggilan sayang, Sufian bagaimanapun belum mempunyai rancangan serius untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
“Sebenarnya kami tiada sasaran tarikh bila mahu mendirikan rumah tangga. Tetapi apa yang boleh dikatakan saya memang sudah bersedia.
“Semestinya kami ada juga berbual soal ke mana arah destinasi ubungan ini sebab masing-masing tidak mahu membuang masa.
“Fasa perkenalan kami pun sememangnya bertujuan untuk mendirikan rumah tangga cuma masih tiada perancangan,”kongsinya.