GEDONG: Sarawak bakal menubuhkan bank komersialnya sendiri dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan, apabila ekonomi Sarawak meningkat, penyertaan sektor swasta akan turut terjalin bersama termasuk PKS yang berdaftar.
“Bagaimanapun, mereka ini (PKS) kadang-kadang tidak layak untuk mendapat bantuan pinjaman kewangan walaupun perusahaan yang dijalankan mereka itu bagus. Sebab itu saya kini sedang berusaha mungkin dalam tahun ini atau tahun hadapan Sarawak akan mempunyai bank komersiannya sendiri untuk bantu peniaga SME (Perusahaan Kecil Sederhana) kita.
“Tetapi, saya tak dapat nak umum lebih terperinici dahulu, kerana kita masih diperingkat rundingan, dan majoriti PKS yang kita akan usaha bantu ini adalah PKS di negeri ini dalam usaha kita membangunkan perkembangan PKS di negeri ini,” ujar Abang Johari ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong, pada Ahad.
Untuk rekod pada tahun 2017, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menubuhkan sebuah Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Bank Negara Malaysia (BNM).
Objektif penubuhan tersebut selaras dengan usaha kerajaan negeri bagi mencapai pelan transformasi sosioekonomi untuk tempoh 2017-2030.
Pada masa yang sama, penubuhan DBOS juga merupakan usaha merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, seterusnya menyumbang ke arah proses mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri.
Sementara itu, Abang Johari turut mendedahkan Sarawak kini juga dalam usaha meningkatkan jaringan internet di kawasan luar bandar dan berhasrat mampu terlaksana di seluruh kawasan menjelang 2050.
“Kita memang mempunyai menara telekomunikasi tetapi bukan pemancar telekomunikasi. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pemancar supaya ia dapat meningkatkan sambungan internet kita di seluruh Sarawak termasuk ke sekolah luar bandar kita.
“Inilah yang kita sedang bangunkan, dan menjelang 2025, segala-galanya berkembang, Sarawak adalah antara negeri yang terkemuka dalam bidang internet,” tambah Abang Johari.- utusan