KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan mewujudkan pengkalan hadapan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti bagi menghadapi musim kemarau yang dijangka melanda negeri itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, antara lokasinya adalah kawasan rumah yang mempunyai sejarah putus bekalan air.
“Fungsinya adalah untuk memastikan penghantaran bekalan air minuman dapat dilakukan dengan segera. Malah lokasi pengkalan hadapan juga berdekatan rumah panjang yang kita tahu ada sejarah putus bekalan air dan kawasan tersebut masih bergantung kepada tadahan air hujan,” kata Fatimah dalam sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Petra Jaya, hari ini.
Tambah Fatimah lagi, bekalan air minuman botol juga akan turut dihantar kepada penduduk yang terputus bekalan air ketika musim kemarau.
“Sekiranya satu-satu kawasan itu terputus bekalan air disebabkan kemarau, air hujan tiada dan air sungai berkurangan, maka penghantaran air minuman botol akan dilakukan.
“Kadar yang kita tetapkan ialah seorang penduduk mendapat 12 botol air minuman untuk tempoh seminggu dan sekiranya musim kemarau ini berterusan, maka bekalan air minuman botol akan kita terus lakukan kepada mereka yang terjejas,” jelasnya.
Pada masa yang sama, kata Fatimah, bekalan air tangki juga akan dihantar oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak( JBALB) ke kawasan terjejas jika kemarau berterusan bagi satu tempoh panjang.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, beberapa loji rawatan air dijangka terjejas disebabkan oleh air mentah yang tidak mencukupi.
“Ini boleh mencapai peringkat kritikal seperti di Loji Rawatan Air Melugu dan Pantu di Sri Aman dan Loji Rawatan Air Penibong di Mukah sekiranya masih tiada hujan pada minggu-minggu akan datang.
“Malah beberapa kawasan di seluruh Sarawak mungkin mengalami masalah bekalan air seperti tekanan air rendah ekoran musim kemarau yang dijangka berlarutan sehingga Ogos nanti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak JBALB, Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management Sdn. Bhd. telah mengaktifkan pelan tindakan masing-masing bagi mengurangkan kesan musim kemarau terhadap bekalan air kepada pengguna.
Pada masa sama, Julaihi menegaskan, situasi sumber air dan kemudahan bekalan air lain di setiap kawasan yang terjejas kemarau di Sarawak juga sedang dipantau rapi oleh pihak berkuasa bekalan air.
Justeru, beliau menggesa ketua masyarakat dan pengguna supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa bekalan air di kawasan masing-masing apabila menghadapi masalah tekanan air yang rendah mahupun apabila tiada bekalan air di kawasan masing-masing agar tindakan segera dapat diambil. – UTUSAN