ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau akan berusaha membayar jumlah ditetapkan mahkamah terhadapnya susulan kes saman oleh bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Menulis di laman Facebooknya, Muhammad Sanusi berkata, beliau sememangnya sedar dengan tanggungjawab untuk melunaskan tuntutan tersebut.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak akan mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik atau membiarkan rakyat Kedah menjadi kaki judi.
“Apabila sudah didapati bersalah, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka. Saya akan berusaha membayar berapa pun harganya.
“Mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi tidaklah sekali-kali,” katanya.
Mahkamah Rayuan semalam memerintahkan Muhammad Sanusi membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada Mahfuz yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia berhubung saman fitnah.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM120,000.
Terdahulu pada Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.
Susulan itu pada November 2021, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin membenarkan saman fitnah Mahfuz dan mengarahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz, selain mengeluarkan perintah injunksi menghalang Muhammad Sanusi atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap Mahfuz pada masa depan.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, sebagai ahli dan pimpinan Pas, beliau serius dengan usaha membanteras kegiatan perjudian di Kedah.
Katanya, sejak mengambil alih kerajaan sejak 17 Mei 2020, satu langkah besar dibuat untuk memberhentikan pengeluaran lesen premis perjudian di seluruh Kedah.
“Antara 2021 hingga 2022, pemberian lesen premis perjudian di seluruh Kedah dihentikan ketika lesen sedia ada beransur-ansur tamat. Mulai 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan keseriusan Pas menghentikan kegiatan merosakkan seluruh masyarakat di negeri ini.
“Jika terdapat premis judi tanpa lesen, maka polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan operasi membanteras perjudian selari peruntukan undang-undang. Inilah yang dimaksudkan tidak main-main atau ambil mudah dengan judi,” katanya. – UTUSAN