Sanusi perlu ikut pendekatan MB Perlis - Utusan Malaysia

Sanusi perlu ikut pendekatan MB Perlis

FATHUL Bari Mat Jahya (berdiri, tiga dari kiri) beramah mesra bersama pengamal media sewaktu Majlis Iftar Ramadan bersama kepemimpinan UMNO Bahagian Kangar di Hotel Regency, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor perlu mencontohi pendekatan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang lebih lunak dan cermat ketika berunding atau berurusan dengan kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, meskipun berbeza parti politik namun beliau melihat pendekatan Mohd Shukri adalah lebih diplomatik dalam mengadakan sebarang rundingan bersama kerajaan Persekutuan.

Katanya, dalam hal melibatkan kepentingan rakyat, Menteri Besar Kedah itu perlu menjaga hubungan dengan Pusat bukannya lebih menumpukan kepada isu beliau semata-mata.

“Jangan jadikan sebarang pergaduhan itu berlarutan sehingga menggadaikan kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Ramadan bersama kepimpinan UMNO Bahagian Kangar di Hotel Regency, di sini, semalam.

Persengketaan antara Sanusi dengan Anwar dilihat semakin memuncak dan berlarutan buat masa ini.

Segala-galanya bermula dengan ceramah yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah itu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Tambun, pada November tahun lalu.

Sebulan kemudian, Perdana Menteri memfailkan saman fitnah ke atas Sanusi atas dakwaan beliau menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya, seorang pendusta, pembohong, mengkhianati mandat rakyat selain seorang penjenayah walaupun pengampunan penuh telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Namun, Sanusi menafikan ucapannya berbaur fitnah, sebaliknya mempertahankan ceramah yang disampaikannya.

Sejak itu, hubungan kedua-dua pemimpin negara itu tampak keruh, dengan masing- masing tidak sehaluan dalam pelbagai isu, terutama hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Malah, terbaharu, Menteri Besar Kedah itu mendakwa Perdana Menteri melarangnya daripada menghadiri sebarang majlis dan program yang dianjurkan oleh kerajaan persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (Lima) yang akan berlangsung di Langkawi, 23 hingga 27 Mei ini.

Tambah Fathul Bari berkata, Sanusi tidak sewajarnya menimbulkan sebarang polemik memandangkan kerajaan negeri memerlukan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

“Jangan gunakan sebarang krisis dan dipolitikkan sehingga menggugat kepentingan rakyat. Cubalah selesaikan masalah dengan cara berhemah demi kebaikan semua,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya