Sang bedal Sungai Kesang mati tersangkut pukat nelayan

Sang bedal Sungai Kesang mati tersangkut pukat nelayan

BANGKAI seekor buaya tembaga betina dengan berat 230 kg ditemukan tersangkut dalam pukat nelayan di Umbai, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Komuniti nelayan di Umbai di sini gempar selepas menemukan bangkai seekor buaya tembaga betina dengan berat 230 kilogram (kg) tersangkut pada pukat nelayan, dalam kejadian pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, reptilia itu dipercayai berasal dari Sungai Kesang menggunakan pesisir pantai sekitar Umbai untuk mencari makanan dan pasangan.

Beliau berkata, penemuan bangkai buaya sepanjang 11 kaki itu dilaporkan orang awam kira-kira pukul 10 pagi.

“Berdasarkan maklumat tersebut, sepasukan pegawai telah bergegas ke lokasi dan menemui bangkai seekor buaya tembaga di tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan, jantina buaya tersebut adalah betina dengan anggaran panjang 11 kaki dan berat antara 200 sehingga 230 kg,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Petra, kejadian buaya dewasa tersangkut pada pukat nelayan adalah kali pertama dilaporkan berlaku pada tahun ini.

Jelasnya, bangkai telah dihantar ke Zoo Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Saya meminta orang awam supaya tidak bimbang dengan kejadian tersebut dan segera menghubungi Perhilitan di talian 06-2345610 atau 013-4122589 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan reptilia ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN