KUBANG PASU: Jumlah sisa pepejal yang dikumpulkan di negeri ini pada minggu pertama Ramadan tahun ini meningkat kepada 9,000 tan berbanding 8,800 tan dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman), Zaki Abdul Aziz Daud berkata, peningkatan 200 tan atau tiga peratus jumlah sisa pepejal yang dikumpulkan itu berpunca daripada janaan sampah premis kediaman, perniagaan dan bazar Ramadan.
“Bahan makanan menyumbang kepada 40 peratus daripada keseluruhan sisa buangan di tapak pelupusan seluruh negara. Maka orang ramai dinasihatkan agar lebih berhemah dalam menyediakan juadah terutama ketika sambutan Aidilfitri bagi mengelak pembaziran makanan.
“Di pihak E-Idaman, kami akan melaksanakan penambahan khas kutipan sisa pukal dan kebun di taman-taman perumahan yang dikenal pasti menghasilkan lebihan janaan sampah sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Selain itu seperti tahun-tahun lalu, jadual kutipan sisa akan dilanjutkan pada malam hari raya bagi memastikan kebersihan dan keselesaan orang awam sepanjang tempoh perayaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Majlis Ramadan Kita kepada enam keluarga asnaf di daerah ini, hari ini.
Majlis tersebut merupakan kerjasama antara E-Idaman bersama Pejabat Zakat Kubang Pasu, Yayasan Jariah Aafiyat dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK) bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Sementara itu Zaki memaklumkan, enam Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) yang dibina di beberapa lokasi dalam negeri ini, akan memberi fokus kepada pengumpulan barangan yang boleh dikitar semula.
“Langkah itu diharap dapat membantu mengurangkan jumlah sampah ke tapak pelupusan.
“Enam lokasi DTRC di Kedah terletak di Kulim, Sungai Petani, Langkawi, Alor Setar, Jitra dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok,” katanya. –UTUSAN