Sambutan Ramadan, Aidilfitri tak sama tanpa ibu, bapa - Utusan Malaysia

Sambutan Ramadan, Aidilfitri tak sama tanpa ibu, bapa

ROSMAWATI Dasuki bergambar kenangan bersama anak-anak Madrasah Miftahul Ulum Tanjung Aru semasa majlis berbuka puasa di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerinduan menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri bersama insan bernama ibu dan bapa tidak mampu untuk diluahkan dengan kata-kata.

Namun, selepas bergelar anak yatim piatu sejak empat tahun lalu membuatkan Nor Alya Ayun, 17, hanya mampu mengubat kerinduan dengan menyedekahkan al-Fatihah untuk kedua arwah ibu bapanya.

Katanya, ibu meninggal dunia pada empat tahun lalu manakala bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 10 tahun.

Sejak itu, kakak sulungnya menggalas tanggungjawab menjadi ibu dan juga bapa kepada mereka sembilan beradik.

Nor Alya yang juga anak bongsu berkata, menyambut Ramadan tanpa kedua ibu bapa memang rasa berbeza apatah lagi menjelang Aidilfitri kerana tiada lagi tangan ibu dan bapa yang boleh disalam mahupun dicium.

Namun, dia reda dengan ketentuan takdir. Malah, dia bersyukur kerana mempunyai adik-beradik yang cukup penyayang hingga membuatkan dia tidak pernah rasa kurang kasih sayang daripada keluarga.

“Ramadan ini buat pertama kali, saya menyambut Ramadan jauh daripada keluarga kerana saya sedang belajar di Madrasah Miftahul Ulum Tanjung Aru. Saya sudah berada di sini selama lapan bulan.

“Walaupun berpuasa di madrasah tidak sama seperti semasa bersama keluarga namun, demi menuntut ilmu dalam pengajian al-Quran saya perlu belajar untuk korbankan kemahuan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nor Alya yang berasal dari Paitan berkata, kesusahan hidup membuatkan dia hanya menamatkan persekolahan sehingga tingkatan empat sebelum memutuskan untuk mengikuti pengajian al-Quran di madrasah tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Dasuki berkata, sempena Ramadan ini, mereka mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak dari Pusat Pengajian Tahfiz As-Syatibiyah dan Madrasah Miftahul Ulum Tanjung Aru.

Beliau berkata, mereka ingin berkongsi rezeki sempena Ramadan dengan meraikan 50 orang golongan yang kurang berkemampuan.

“Sebagai anak syarikat Yayasan Sabah yang sentiasa mementingkan rakyat maka, kami mengambil kira setiap aspek untuk memberi peluang kepada anak-anak ini untuk merasai 700 jenis hidangan yang disediakan SICC sempena Ramadan ini,” katanya.

Menurut beliau, sejak beroperasi selama tiga tahun lalu, SICC sentiasa menambah baik perkhidmatan dan menu yang disediakan. Seperti tahun lalu, SICC mengekalkan 700 hidangan berkonsepkan Asia sempena bulan Ramadan.

“Kita masih mengekalkan hidangan Menu Diraja yang sering menjadi pilihan pelanggan. Ini juga tahun pertama SICC menawarkan menu bersahur yang ditawarkan di Kafe Meranti bermula pada pukul 10.30 malam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya