Saman Riza Aziz dibicara Oktober 2024 - Utusan Malaysia

Saman Riza Aziz dibicara Oktober 2024

RIZA AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap penerbit filem yang juga anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz dan tiga lain bagi menuntut RM1 bilion (AS$250 juta) yang didakwa diseleweng daripada syarikat itu akan mula dibicarakan Oktober 2024.

Wang tersebut didakwa digunakan untuk manfaat peribadi antara lain bagi membiayai penerbitan filem dan membeli pelbagai hartanah di luar negara di antara 2011 dan 2012.

Menurut peguam, Desmond Low Zhi Jie yang mewakili Riza atau nama penuhnya Riza Shahriz Abdul Aziz, perbicaraan kes saman itu akan bermula pada 16 hingga 25 Oktober, 28 Oktober hingga 1 November dan 4 November 2024.

“Kes saman itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan,” kata peguam itu yang turut memberitahu Mahkamah Tinggi di sini telah menetapkan pengurusan kes itu, esok (13 April).

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikat, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited selaku plaintif memfailkan saman tersebut dengan menamakan Riza dan dua syarikatnya, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah firma guaman di Amerika Syarikat, Shearman & Sterling.

Tuntutan saman yang difailkan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dimulakan oleh 1MDB terhadap sembilan entititi termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu dalam usaha mendapatkan semula asetnya.

Menurut writ saman yang difailkan pada 7 Mei lalu, plaintif mendakwa kesemua defendan telah menerima kira-kira AS$248 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif antara 2011 dan 2012 selain mendakwa mereka menggunakannya untuk kepentingan diri dan sekutu, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian pelbagai hartanah.

1MDB mendakwa firma guaman Shearman & Sterling membenarkan Riza serta ‘sekutunya’ iaitu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan akaun klien di firma itu untuk mengubah sejumlah besar dana yang diselewengkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa Riza bertanggungjawab atas dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur.

Writ saman itu juga menyebut, plaintif-plaintif berhak untuk dibayar balik dana yang dilesapkan dan diterima defendan pertama atas alasan menjadi kaya secara tidak adil (unjust enrichment).

Sementara itu menurut penyataan pembelaan Riza dan dua syarikatnya, dia mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC ) untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat dan bukannya daripada dana 1MDB.

IPIC merupakan syarikat yang ditubuhkan di Abu Dhabi yang pada ketika itu Pengarah Urusannya adalah Khadem Abdullah Al-Qubaisi, yang merupakan bekas pembantu Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan iaitu Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan juga ahli keluarga diraja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya