PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak menetapkan 9 Mei ini bagi pendengaran kes kali terakhir berhubung saman ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Tarikh itu ditetapkan sebelum mahkamah membuat keputusan sama ada mahu meneruskan saman berkenaan atau sebaliknya setelah memberi masa untuk kedua-dua untuk pihak berunding.
Peguam yang mengetuai saman pemula itu, Nelson W. Angang mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi selepas selesai prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Ismail Brahim.
“Kami maklumkan kepada mahkamah memang kerajaan negeri dan Persekutuan masih lagi berunding berhubung tuntutan hasil negeri ini dan semua plaintif tiada niat mahu menarik saman. Jadi, mahkamah memberi sedikit masa jika rundingan ini berjaya dicapai atau tidak.
“Jika kesepakatan gagal dicapai pada tarikh tersebut, mahkamah akan memanggil lagi untuk sebutan kes di mana mahkamah memberi arahan untuk meneruskan kes saman ini atau tidak.
“Kalau belum ada rundingan diselesaikan yang boleh dipersetujui bersama, maka kes akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Pada 10 Mac lalu, akhbar ini melaporkan, status kes saman ahli-ahli Parlimen dan ADUN PH Sabah terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri masih diteruskan. – UTUSAN