KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mula dibicarakan selama 10 hari bermula 16 Oktober ini.
Menurut peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman ketika dihubungi media memaklumkan tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Nor Afidah Idris oleh sewaktu pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian.
Turut hadir pada prosiding tersebut ialah peguam, Intan Hanis Afiqah Razali bagi pihak Ahmad Zahid selaku plaintif manakala Muhyiddin yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam, Shu Ivy.
Pada 4 April 2022, Ahmad Zahid memfailkan saman terhadap Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bagan Datuk ada meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata pada 19 Oktober 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Ahmad Zahid mendakwa defendan (Muhyiddin) telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Februari 2022.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan dan meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan.
Sementara itu, Muhyiddin dalam penyataan pembelaannya menyatakan, kenyataan yang dibuat adalah benar dan bukan fitnah.
Ujarnya, kenyataan yang dibuat sewaktu kempen itu dijustifikasikan sebagai benar dan merupakan komen adil serta berkepentingan awam.
Menurut Muhyiddin, beliau juga tidak mempunyai kawalan dan tidak bertanggungjawab atas penerbitan kenyataan itu yang dibuat oleh Astro Awani di akaun YouTube serta KiniTV, Malaysiakini, Utusan Malaysia atau mana-mana portal berita dalam talian lain.
“Saya menyatakan bahawa tiada sebarang niat jahat daripada pihak saya dalam menerbitkan pernyataan tersebut. Secara khususnya saya menafikan bahawa penerbitan tersebut telah dibuat bertujuan untuk merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum,“ katanya.- utusan