PUTRAJAYA: Walaupun kedengaran seperti satu lawak, namun dapatan Majistret bahawa hanya kereta terbang sahaja yang mampu mengelakkan kemalangan maut yang mengorbankan lapan remaja enam tahun lalu adalah tepat.
Ini kerana, tiada apa yang dapat dilakukan oleh kerani, Sam Ke Ting apabila melalui kawasan kejadian dan terdapat di antara 30 ke 40 basikal di atas jalan raya.
“Dalam perenggan 149 penghakiman Majistret, beliau mengatakan adalah mustahil kemalangan tersebut dapat dielakkan. Satu cara untuk kemalangan dielakkan adalah (untuk) kereta itu terbang melepasi penunggang basikal lajak.
“Ia tidak bermaksud untuk menjadi satu lawak jenaka tetapi dapatan itu adalah tepat. Tiada cara untuk mengelakkan kemalangan kerana kita bukan bercakap tentang satu atau dua basikal, tapi 30 hingga 40 basikal.
“Jadi penghakiman dalam alasan penghakiman Mahkamah Majistret adalah betul dan kita perlu menghormatinya.
“Awak perlu berlaku adil sebab itulah Majistret membuat penilaian maksimum dan dapatan Majistret bahawa kemalangan ini memang mustahil dapat dielakkan sebab situasi berbahaya itu diwujudkan oleh penunggang basikal lajak,” kata Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan hari ini dalam rayuan Ke Ting berhubung sabitan salah dan hukuman.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah turut sebulat suara menyatakan bahawa penghakiman Majistret Siti Hajar Ali adalah sesuatu yang komprehensif dan menilai keterangan dari semua sudut.
Ke Ting merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam pukul 3.20 pagi pada 18 Februari 2017.
Wanita terbabit pernah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut di akhir kes pendakwaan sebelum diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan itu selepas Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Di akhir kes pembelaan, Ke Ting sekali lagi dibebaskan oleh Majistret sama sebelum disabitkan dengan kesalahan itu oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Terdahulu ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Hadhariah menyatakan pertuduhan yang dikenakan terhadap wanita itu cacat dan tidak boleh dipertahankan.
Jelasnya, untuk mendapati seseorang itu bersalah, ia hendaklah mengikut prosedur undang-undang yang betul bagi membolehkan sabitan juga betul.
“Dalam kes ni, pertuduhan tidak betul, pertuduhan itu cacat, (jadi) sabitan juga tidak betul. Ia bukan tidak mengikut aturan tetapi tidak sah. Kedua-duanya tidak mengikut undang-undang. Itu adalah hak perayu (Ke Ting) di bawah undang-undang untuk menuntut pertuduhan mesti betul, sabitan mesti betul.
“Tidak boleh kata apabila ada kemalangan maut, adalah pasti pemandu motokar bertanggungjawab, itu bukan kedudukan undang-undang,” katanya.
Jelasnya, dalam kes ini, pertuduhan terhadap Ke Ting jelas terdapat pertindihan dan ia juga diakui oleh pihak pendakwaan.
“Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah mengatakan setiap pertuduhan mestilah ada satu kesalahan, kesalahan spesifik. Dalam kes ni, apabila ada pertindihan, maknanya ada dua kesalahan (memandu melulu dan memandu secara berbahaya) dalam satu pertuduhan.
“Kami tidak boleh bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa pertindihan itu tidak memprejudiskan dan tidak menimbulkan salah arah keadilan terhadap perayu kerana intipati setiap pertuduhan tu adalah berbeza. Ia melibatkan intipati pertuduhan.
“Perayu mesti tahu apa pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau. Dalam kes ini, kami mendapati memang ada kekeliruan di peringkat kes pendakwaan yang mana di Mahkamah Majistret, pembelaan membuat hujahan untuk kesalahan memandu melulu dan berbahaya.
“Pihak pendakwaan pula berhujah (di Mahkamah Majistret) untuk kesalahan memandu secara melulu. Kemudian di peringkat Mahkamah Tinggi, pendakwaan mengatakan mereka ada kes untuk kesalahan memandu secara berbahaya,” kata Hakim Hadhariah.
Mengikut pertuduhan, wanita itu sebelum ini didakwa memandu kereta dengan nombor pendaftaran JQB 9984 di atas jalan raya dengan cara melulu atau cara berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam dalam daerah ini pada jam lebih kurang 3.20 pagi 18 Februari lalu.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 dan lesen boleh digantung, jika disabit kesalahan.
Sehubungan itu, atas alasan pertuduhan cacat, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan salah dan penjara enam tahun serta denda RM6,000 yang sebelum ini dikenakan terhadap Ke Ting.
“Atas alasan ini sahaja rayuan perayu dibenarkan. Keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 13 April 2022 atas sabitan dan hukuman diketepikan, perayu dibebas dan dilepaskan. Awak (Ke Ting) kini orang yang bebas,” kata Hakim Hadhariah. – UTUSAN