S.M. Faisal bebas, Emilia tarik balik kes - Utusan Malaysia

S.M. Faisal bebas, Emilia tarik balik kes

S.M. FAISAL S.M. Nasimuddin (tengah) dikelilingi barisan peguamnya ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes mencederakan bekas isteri, semalam. – UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini semalam melepas dan membebaskan Datuk S.M. Faisal S.M. Nasimuddin daripada pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap bekas isteri, Emilia Hanafi selepas wanita itu menarik balik kes tersebut.

Majistret Nadia Othman memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader agar S.M. Faisal dibebaskan daripada pertuduhan ekoran persetujuan Emilia itu.

“Saya percaya pihak-pihak telah berdamai dan mencapai jalan penyelesaian, saya melepas dan membebaskan S.M. Faisal daripada pertuduhan manakala wang jaminan dikembalikan,” jelas Nadia.

Nizam Bashir selaku peguam pemerhati yang mewakili Emi­lia memaklumkan, kedua-dua mereka mencapai penyelesaian global agar semua pertikaian di­selesaikan secara baik.

Terdahulu, Emilia mengangkat sumpah dalam kandang saksi bagi memaklumkan tujuan kehadirannya ke mahkamah.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, Emilia memaklumkan beliau berhasrat menarik balik kes.

Nur Aishah: Puan faham apakah kesan jika kes ini ditarik balik?
Emilia: Ya, faham. Saya tidak boleh meneruskan kes terhadap tertuduh.

Nur Aishah: Adakah kamu akan menyalahkan mana-mana pihak seperti polis, mahkamah, peguam dan pihak pendakwaan setelah kes ini ditarik balik?
Emilia: Tidak.

Nur Aishah: Saya mohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

Pada awal prosiding, Akberdin yang hadir bersama-sama Datuk Jagjit Singh mengemukakan permohonan lisan agar Emilia yang juga pengadu kes dirujuk kepada pakar psikiatri mengikut Akta Kesihatan Mental 2001.

Akberdin berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan bertulis di­sertai afidavit sokongan sama ada wanita itu layak dari segi mental untuk memberi keterangan sebagai saksi.

“Kami mohon diberi laluan membuat permohonan itu dan dijawab oleh pihak berkenaan dan kita akan lihat (perkemba­ngan) dari situ nanti,” jelasnya.

Sementara itu di luar mahkamah Nizam berkata, kes berjaya diselesaikan secara glo­bal dengan mengambil berkat Ramadan serta atas faktor kemas­lahatan anak-anak mereka.

Tanpa mendedahkan terma-terma penyelesaian, beliau menjelaskan penyelesaian global itu termasuk tuntutan mutaah dan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.

Akberdin pula memaklumkan, kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk tidak mendedahkan terma-terma penyelesaian kepada umum.

“Selepas ini kedua-dua pihak akan ambil tindakan untuk tidak meneruskan semua tuntutan di Mahkamah Syariah dan berharap semua berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, S.M. Faisal ketika ditemui wakil media melahirkan kesyukurannya dengan berita baik itu dan mahu menumpukan perhatian kepada anak-anaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya