ALOR SETAR: Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di enam negeri yang bermula di Kedah hari ini tidak bermotif politik, namun ianya adalah alternatif kerajaan mendengar rintihan rakyat tanpa halangan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu juga membolehkan Kerajaan Perpaduan mendekati rakyat dan memahami masalah mereka dengan lebih baik.
“itu adalah gaya Perdana Menteri kita dan setelah mendengar kegelisahan rakyat, saya pasti Perdana Menteri akan arahkan Kabinet untuk segera menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di negeri-negeri yang beliau kunjungi,” katanya ketika ditemui pada majlis itu, hari ini.
Fahmi mengulas kenyataan pemantau pilihan raya, Bersih yang meminta undang-undang penggunaan sumber kerajaan diperketat ekoran kontroversi penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri yang didakwa berunsur politik.
Pengerusi Bersih, Thomas Fann dilaporkan berkata, penganjuran majlis rumah terbuka raya di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bukan satu kebetulan.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, kerajaan terbuka mendengar pandangan semua pihak termasuk oleh Bersih.
Sementara itu, beliau berharap Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang berlangsung di Kedah dapat mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, suasana yang dilihat pada rumah terbuka itu sangat positif dan meriah selain kehadiran Perdana Menteri yang turut beramah mesra menyantuni pengunjung.
“Saya lihat Perdana Menteri juga banyak luang masa, beliau tiba sejam awal ke lokasi untuk bertemu dengan semua yang hadir, pergi khemah ke khemah, meja ke meja untuk lihat sendiri dan itu adalah memang gaya Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengiringi Sultan Kedah dilihat dapat menguatkan lagi semangat ukhwah dan muhibah walaupun berbeza fahaman politik.
Katanya, keadaan itu menunjukkan kematangan pimpinan politik untuk mengenepikan sebarang sentimen. –UTUSAN