Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri PRN timbulkan syak wasangka - Utusan Malaysia

Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri PRN timbulkan syak wasangka

SHAHIDAN Kassim ketika ditemui Pusat Khidmat Kubang Gajah, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Mada­ni Bersama Perdana Menteri di enam buah negeri boleh menimbulkan syak wasangka dan tidak seharusnya diteruskan.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pemilihan enam negeri tersebut bagi penganjuran rumah terbuka berkenaan akan menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan rakyat khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Katanya, sekiranya kerajaan menganjurkan rumah terbuka itu bertujuan untuk berkempen bagi PRN, Perikatan Nasional (PN) juga boleh melakukan tindakan sama bagi memastikan kemenangan di negeri-negeri terlibat.

“Saya tak pasti apa niat mereka (kerajaan) melalui penganjurkan rumah terbuka ini dan pastinya ia akan menimbulkan syak wasangka.

“Kalau tujuannya ikhlas bagi menyambut perayaan, maka baguslah tapi kalau ia untuk berkempen maka kita pun akan lawan,” katanya ketika ditemui Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini hari ini.

Shahidan berkatan demikian mengulas keputusan ke­rajaan Pusat mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri se­cara bergilir­-gilir di enam negeri di Semenanjung Malaysia bermula pada 29 April di Kedah dan dijadu­al berakhir 14 Mei di Selangor.

Selain itu, majlis sama turut dijadual berlangsung di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).

Tambah Shahidan, sekiranya majlis tersebut masih diteruskan, parti diwakili kerajaan bakal berdepan kekalahan teruk susulan penolakan rakyat dalam PRN nanti.

“Rakyat sedang marah dan mereka tertanya-tanya adakah penganjuran rumah terbuka ini untuk tujuan kempen atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, pihaknya juga masih meneruskan penganjuran rumah terbuka Parlimen Arau bersempena Hari Raya Aidilfitiri seperti kebiasaan pada tahun-tahun sebelum ini.

Tambahnya, selain rakyat setempat, beberapa pemimpin utama PN juga turut dijemput hadir bagi memeriahkan lagi penganjuran rumah terbuka itu.

“Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi sambutan hari raya kali ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya