KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakannya mengadakan Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam buah negeri dan tidak menganggapnya sebagai satu pembaziran.
Perdana Menteri menjelaskan, ia merupakan salah satu tanggungjawab beliau dan kerajaan persekutuan untuk menyantuni dan mendekati rakyat.
Justeru, katanya, tidak salah rumah terbuka itu menggunakan peruntukan kerajaan, meskipun tindakan itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuklah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
“Mana-mana kerajaan buat, semua kerajaan buat untuk rakyat. Bukan membazir kalau bagi makan rakyat, bagi sayalah, membazir? Tidak membazir.
“Kalau kita buat untuk peribadi, untuk keluarga itu untuk peribadi lah. Kalau kita bagi untuk rakyat sebagai kerajaan, ia sebenarnya jauh lebih murah dibuat di Alor Setar daripada Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Sungai Buloh, hari ini.
Anjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani menjadi platform terbaik dalam memberi ruang dan peluang kepada Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri menyantuni rakyat.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan, ini kerana rakyat sebelum ini tidak pernah berpeluang untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama pemimpin negara kerana kesukaran untuk berkunjung ke Seri Perdana.
Selaras dengan konsep Malaysia Madani, katanya, penganjuran kali ini juga hasil kerjasama strategik kerajaan negeri selain kementerian peneraju yang turut dilantik bagi membantu pelaksanaan majlis.
Menurut Anwar, beliau tidak sekadar hadir rumah terbuka anjuran kerajaan persekutuan di enam buah negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya beliau akan turut ke Kota Kinabalu, Sabah, Ahad ini, untuk sambutan Aidilfitri.
“Semua kerajaan negeri buat (rumah terbuka), kerajaan bawah Pakatan Harapan (PH) buat, kerajaan Barisan Nasional (BN) buat, kerajaan Pas pun buat, kadang-kadang mewah juga.
“Jadi, yang penting jaga cermat wang rakyat untuk belanja bagi makan rakyat setahun sekali dan dapat berdamping dengan kita, itu tujuannya,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengakui sudah membuat jemputan kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk hadir Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar pada 29 April ini.
Perdana Menteri menjelaskan, jemputan itu dibuat sebagai menghormati kedudukan Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah.
“Saya difahamkan dijemput, kerana tuanku (Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) berangkat, maka Menteri Besar dijemput, setakat yang saya faham boleh dirujuk dengan penganjur, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.
Majlis akan diadakan bermula 10 pagi hingga 2 petang di Hotel Raia, Alor Setar.
Beliau juga dilihat enggan mengeruhkan hubungan dengan Muhammad Sanusi, meskipun Menteri Besar Kedah itu sering melemparkan kritikan terhadap beliau dan dasar kerajaan yang ditadbirnya.
“Tak apalah, saya tak pernah jawab Menteri Besar Kedah, kita pun nak pergi Kedah, biarlah keadaan agak tenang sedikit, ini silaturahim bulan Syawal, jadi saya ambil sikap macam itu,” katanya. –UTUSAN