HULU TERENGGANU: Hasrat seorang ibu tunggal yang ingin mencari rezeki lebih dengan berniaga kuih-muih pada Ramadan ini tidak kesampaian setelah peralatan memasak dan stok bahan mentah musnah setelah rumahnya di Kampung Bukit Ara, Ajil di sini terbakar pada Sabtu lalu.
Ruslina Harun, 53, berkata, kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu menyebabkan dia bersama empat anak yang berusia antara 14 hingga 21 tahun tinggal sehelai sepinggang, selain menanggung kerugian kira-kira RM50,000.
Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang sibuk membuat persiapan menghantar kuih-muih ke bazar Ramadan berdekatan manakala seorang anaknya, Muhammad Aminuddin Yaacob, 21, berada dalam bilik dan tiga yang lain tiada di rumah.
“Saya terkejut apabila anak saya keluar dari bilik setelah terdengar bunyi letupan kecil, sambil memberitahu rumah terbakar dan api marak di ruangan dapur.
“Ketika itu, saya tidak sempat berbuat apa-apa, selain cuma sempat mencapai beg tangan lalu bergegas keluar kerana api marak terlalu cepat. Saya hanya mampu laungkan azan sambil lihat rumah pusaka didiami lebih 40 tahun terbakar.
“Walaupun sedih, namun reda dengan ujian ini. Buat masa ini, saya menumpang sementara di sebuah rumah terletak berhampiran dengan bantuan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambah Ruslina, dia juga telah kehilangan sumber pendapatan kerana sebelum ini hanya mengharapkan hasil jualan harian daripada kuih-muih untuk perbelanjaan.
Jelasnya, dia juga telah membelanjakan kira-kira RM1,000 sebagai modal bagi membeli bahan mentah seperti minyak masak dan tepung gandum untuk membuat kuih-muih sepanjang Ramadan ini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan bantuan menerusi akaun 163037206720 (Maybank) atas nama anak sulungnya, Noraini Mat Zin, 34, atau hubungi di talian 014-7948435. – UTUSAN