PETALING JAYA: Penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil kini dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Berita duka itu disahkan rakan baiknya, Jaafar Onn kepada Utusan Malaysia sebentar tadi.
Kongsi Jaafar, dia mendapat perkhabaran mengejut tersebut semalam dan tidak dapat mengesahkan sebab rakan baiknya itu dikejarkan ke hospital.
“Saya baru habis buat persembahan dengan dia Ahad lalu. Ketika itu dia memang nampak kurang sihat. Berat badannya pun susut. Mungkin ada masalah pemakanan.
“Ketika ini, doktor sedang memantau perkembangan keadaannya dan pemeriksaan lanjut kerana dia tidak pernah mengalami sebarang penyakit serius.
“Memang terkejut sebab tiba-tiba sahaja kan kita dengar berita, dia dikejarkan ke hospital dan sekarang berada dalam ICU,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi Haiza berkata, kali terakhir dia berjumpa Rohana pada awal Ramadan lalu dan memaklumkan keadaan penyanyi Rayuanku ketika itu kelihatan kurang sihat.
“Saya dapat tahu semalam. Terkejut sebab baru sahaja berjumpa dengan kak Rohana awal Ramadan lalu. Keadaan dia nampak kurang sihat dan berat badan dia kelihatan susut.
“Kita sama-sama doakan agar dia diberi kesembuhan secepatnya,” katanya.