RM5.4 juta dana bina Masjid Mengkuang Titi dilulus - PM - Utusan Malaysia

RM5.4 juta dana bina Masjid Mengkuang Titi dilulus – PM

ANWAR Ibrahim dan Chow Kon Yeow pada majlis Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi melengkapkan dana untuk pembinaan Masjid Mengkuang Titi di Kubang Semang di sini yang dianggarkan menelan kos sehingga RM9 juta untuk disiapkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk kesungguhan kariah masjid tersebut untuk mengumpul dana sendiri bagi tujuan berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, sehingga kini, sebanyak RM2.5 juta telah berjaya dikumpulkan dan jumlah itu semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Inilah istimewanya Mengkuang Titi (kariah masjid) ini apabila ambil langkah untuk berbincang sendiri dengan pegawai di ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Kementerian Kewangan).

“Mereka (pegawai yang berkenaan) kemudian beri satu perhatian bahawa masyarakat dan kariah ini antara yang sangat proaktif iaitu dengan mengambil ikhtiar sendiri sehingga berjaya mengutip sebanyak RM 2.5 juta,” katanya.

Beliau berucap sempena Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi di Kubang Semang yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Ketua Pengarah ICU, Datuk Wan Dahalan Abdul Aziz.

Masjid Mengkuang Titi setinggi dua tingkat dan dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 1.29 hektar milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu dijangka boleh menampung sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, selain Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri turut menyumbang dana ke arah pembinaan masjid terbabit iaitu sebanyak RM1.1 juta.

Katanya, projek masjid yang dijangka siap menjelang 2025 itu kelak diharap dapat membawa semangat ketakwaan berbanding kemungkaran iaitu dengan niat yang betul, bukannya semata-mata mempamerkan kebanggaan serta kemegahan.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, selain Masjid Mengkuang Titi, kerajaan negeri kini dalam perancangan membina tujuh buah masjid lagi dengan peruntukan sebanyak RM18 juta.

Jelas beliau, masjid-masjid itu ialah Masjid Papan di Seberang Jaya; Masjid Sungai dan Masjid Sungai Dua Utama (Butterworth); Masjid Bandaraya Seberang Perai (Bandar Cassia); Masjid Lama Sungai Bakap dan Masjid Lama Sungai Kechil (Nibong Tebal) serta Masjid Bandar Putra di Bertam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN