PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki trauma selepas mendakwa menjadi mangsa liwat pelajar seniornya di sebuah rumah kebajikan anak yatim di Setapak, dekat sini, sejak setahun lalu.
Mangsa berusia 13 tahun itu diperlakukan sedemikian rupa sejak pertengahan tahun lalu ketika waktu tidur di asrama rumah kebajikan terbabit dan berlarutan sehingga ke bulan lalu.
Menurut sumber, mangsa tidak berani menceritakan kejadian itu kepada sesiapa selepas diugut pelajar senior terbabit yang akan memukulnya.
“Bagaimanapun kejadian itu terbongkar selepas dia menceritakan kepada kakaknya sebelum guru sekolahnya turut mengetahui kejadian itu.
“Mangsa kemudian dinasihatkan membuat laporan polis sebelum dia akhirnya tampil membuat laporan di Balai Polis Setapak untuk tindakan selanjutnya kelmarin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. – UTUSAN