Raykarl bosan dapat watak kanak-kanak

Raykarl bosan dapat watak kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENCEBURI bidang seni sejak kecil dan sinonim dengan watak kanak-kanak membuatkan pelakon, Raykarl Iskandar masih berlegar dengan watak sama walaupun dia kini sudah menginjak usia 18 tahun. 

Sekalipun begitu, Raykarl bersyukur kerana masih diberi kepercayaan berlakon dan tidak kisah dengan sebarang watak yang diterima.

Dirinya berpegang prinsip sebagai pelakon perlu melakukan perkara yang tidak disukai untuk kekal bertahan dalam industri seni.  

“Jujurnya bosan asyik dapat watak sama seperti watak kanak-kanak. Apapun saya akan terus buat dan tak kisah watak yang diterima. 

“Bimbang juga kalau kita sudah bertukar watak dewasa dan tak boleh nak patah balik jadi watak kanak-kanak. 

“Sebab ramai yang nak berlakon watak dewasa tapi akhirnya tak boleh nak jadi watak kanak-kanak semula,” katanya semasa acara Viu Together Gather di Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Pemilik nama lengkap Nor Heidzriq Haikal Norhamizan berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang had umur untuk tidak lagi memegang watak kanak-kanak. 

Kongsinya, buat pertama kali selepas 13 tahun berlakon, dia ditawarkan watak dewasa berusia 20 tahun yang akan disiarkan di platform penstriman Tonton. 

“Selepas Nenek Bongkok Tiga di Viu, saya akan muncul dengan drama pertama sebagai watak dewasa.

“Saya okay sahaja boleh pergi jadi watak dewasa dan kanak-kanak. Kiranya saya ini macam tengah-tengah, kanak-kanak boleh, dewasa pun mungkin boleh kalau kena cara,” katanya. 

Ditebak untuk kelihatan bertubuh badan sasa supaya mendapat kepercayaan menggalas watak dewasa, Raykarl berkata, dia pernah pergi gimnasium atas faktor ingin beriadah. 

Katanya, dia pernah terfikir untuk ‘buat badan’ atas alasan ingin memiliki fizikal yang tegap dan bukan disebabkan kerjaya lakonan semata-mata. 

“Tahun lepas pernah pergi gimnasium. Beberapa bulan pergi tapi tidaklah serius sangat. Tak salah kita nak cuba sebab ia juga satu bentuk riadah,” katanya. 

SAMBUNG BELAJAR 

Walaupun sudah menjana pendapatan sendiri sejak kecil, Raykarl tetap mengutamakan pelajaran dan mahu menjadi seorang pelakon yang berpelajaran tinggi. 

Kongsinya, dia berhasrat menyambung pelajaran ke luar negara dalam jurusan perfileman sekali gus dapat mengasah bakat lakonannya. 

“Saya sedang fokus International General Certificate of Secondary Education (IGSCE) dan ini merupakan tahun terakhir. Selepas ini, saya rancang nak sambung belajar di luar negara. 

“Kalau sambung belajar masih boleh berlakon, melainkan kalau di luar negara agak susah juga. Saya minat kos perfileman sebab masih mahu berada dalam industri sama,” katanya. 

Raykarl percaya jauh perjalanan luas pemandangan. Cita-cita besarnya itu mahu melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana orang luar beraksi di depan kamera. 

“Contohnya kalau pergi Korea Selatan saya nak lihat bagaimana orang di sana berlakon. Kalau pergi Indonesia, England, bagaimana mereka beraksi depan kamera. 

“Walaupun pengalaman berlakon sudah lama sejak kecil, masih banyak perkara saya belum tahu. Saya ini banyak praktikal, tapi teori belum ada. Jadi, kena seimbangkan juga aspek teori dan praktikal,” jelasnya. 

HANYA KAWAN RAPAT

Berlakon sejak kecil dengan rakan seangkatan seperti Mia Sara membuatkan dirinya begitu akrab dengan pelakon itu. 

Sehingga ada yang berharap mereka akhirnya menjadi pasangan kekasih dek kemesraan yang terserlah. 

Bagaimanapun, Raykarl menafikan sedang bercinta kerana hubungan mereka tak lebih sekadar kawan rapat. 

“Kami sudah berkawan sejak kecil dan sangat rapat. Kenal pun dah lama sangat dan tak mungkin kami bercinta.

“Bukan nak cakap ya atau tak (bercinta), kami selalu bersembang tentang kandungan di media sosial. Tak pernah terkait pasal hal peribadi,” katanya.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya