Rapid Rail pastikan gangguan segera diatasi

Rapid Rail pastikan gangguan segera diatasi

rapid rail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn. Bhd., iaitu pengendali perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), monorel dan operator kepada perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang dan Putrajaya di Lembah Klang sentiasa berusaha memastikan masalah yang berlaku diselesaikan sepantas yang mungkin supaya pergerakan harian penumpang tidak terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamdan berkata, 15 minit adalah tempoh yang diberikan bagi kerja-kerja pembaikan, dan jika ia didapati mengambil masa lebih daripada itu maka pelan alternatif akan segera disediakan.

“Sebab setiap isu yang berlaku itu kita boleh anggar sama ada ia (boleh diselesaikan) dalam tempoh 15 minit atau lebih.

“Jadi, bilik kawalan operasi akan kenal pasti sama ada gangguan itu menyebabkan (kerosakan) yang teruk atau boleh dilakukan pembaikan segera.

“Jika perlu bantuan jurutera, mereka akan tentukan sama ada perlu atau tidak pelan alternatif diaktifkan dan selepas itu kita akan maklumkan kepada pengguna dengan kadar segera melalui saluran komunikasi yang ada,” katanya ketika ditemui di Kompleks Rapid Rail Subang.

Amir Hamdan ketika ditemui di Rapid Rail, Subang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa insiden gangguan perkhidmatan tren yang melibatkan laluan kelolaan Rapid Rail terutama perkhidmatan LRT hingga mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan  kesesakan di platform khususnya pada waktu puncak.

Menurut Amir, pihak Rapid Rail sentiasa peka dengan setiap masalah yang berlaku dan pelbagai usaha giat dijalankan bagi mengenal pasti serta mengatasi isu berkaitan yang menyebabkan gangguan perkhidmatan rel tersebut.

Katanya, mereka sentiasa memastikan setiap isu dan gangguan yang berlaku itu diambil cakna sepantas kilat supaya ia tidak menjejaskan pergerakan harian penumpang.

Rapid Rail ketika ini menguruskan 253 unit set tren dan 147 stesen rel yang meliputi jajaran sepanjang 203 kilometer.

Purata bilangan penumpang Rapid Rail adalah sekitar 750,000 penumpang sehari dengan rekod tertinggi dicatatkan pada 21 Mac lalu apabila pengguna sistem pengangkutan itu melonjak sehingga 767,000 penumpang.

Mengulas lanjut, Amir berkata, Rapid Rail hari ini juga sudah meningkatkan pemakluman kepada pelanggan dengan meletakkan jangkaan pergerakan tren ke setiap stesen yang terkesan dengan gangguan yang berlaku itu.

Katanya, ia bagi membolehkan penumpang menganggarkan tempoh masa menunggu tren itu walau di mana stesen mereka berada.

“Dalam konteks aduan, saya rasa ia secara signifikannya berkurang. Sebab sebagai pengguna, asalkan kita tahu makluman, yang marahnya sebab tidak tahu.

“Malah, sehingga hari ini ada laporan katakan tidak dengar pengumuman, tetapi apabila kita rujuk dengan pasukan teknikal dan mereka buat ujian sistem siar raya (PA system)… sebenarnya semua dalam keadaan baik.

“Rapid Pail sentiasa memahami setiap aduan walaupun ia cuma keluhan yang kecil, kami ambil ia ia sebagai sebahagian daripada pelan penambahbaikan kami,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui, kekerapan dan bilangan tren yang ada ketika ini masih tidak ideal dalam memberikan perkhidmatan kepada pengguna. Katanya, ini kerana pergerakan harian pengguna boleh terjejas terutamanya di stesen yang sesak pada waktu puncak.

“Misalnya di Laluan Kelana Jaya, kita ada bilangan tren rendah yang masih tidak ideal. Kekerapan tren pada lima minit masih tidak ideal sebab pengguna perlu tunggu (lama) untuk tren kedua atau ketiga datang  terutamanya di stesen yang sibuk seperti Pasar Seni.

“Malah, (kekerapan tren) Laluan Kajang juga sepatutnya beroperasi pada empat minit, tetapi sekarang pada enam minit, jadi ia mungkin menjadi isu (bagi sebahagian pengguna) yang merasakan tempoh dua minit itu tetap perlu menunggu.

“Sebab kita buat kajian bahawa pengguna perlu menunggu sekurang-kurangnya dua tren di stesen yang sibuk sebelum boleh naik, jadi selagi kita tidak selesaikan jumlah tren yang ideal, maka selagi itu mereka perlu berdepan dengan perkara itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya