KANGAR: Ramadan mengajar tentang peranan setiap umat Islam supaya saling bantu-membantu, mengukuh serta bekerjasama untuk membangunkan masyarakat yang sejahtera.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain itu, ia juga menjayakan sesebuah organisasi apatah lagi menegakkan syiar agama Islam melalui usaha mengamalkan setiap ajarannya.
“Ajaran yang diamalkan perlu penuh keikhlasan dan ketaqwaan bagi mengharapkan keredaan daripada Allah SWT,” titah baginda selepas berkenan berangkat menunaikan solat Zohor di Masjid Daerah Sandakan, Sabah baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda bersempena ‘Program Eks PerBah 2023’ itu disambut oleh imam besarnya, ustaz Mohamad Khairul Abdul Rajak serta para pegawai masjidnya.
Sempena kunjungan tersebut juga, baginda bagi pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyerahkan sumbangan bernilai RM2,000 kepada masjid berkenaan yang diterima oleh Mohamad Khairul untuk tujuan aktiviti dakwah.-UTUSAN