KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu daripada pelbagai latar belakang merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-61, hari ini.
Selain menzahirkan ucapan tahniah, rakyat mengutuskan doa buat baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah agar pemerintahan baginda berdua sentiasa berjalan lancar, aman dan sejahtera.
Seorang ibu tunggal, Rohani Mat Amin, 50, berkata, dia bersyukur dengan keprihatinan baginda kerana berkenan menyampaikan sumbangan kepada lebih 1,000 fakir miskin dan ibu tunggal melalui Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) pada Ramadan tahun ini.
“Ini kali pertama saya menerima sumbangan kewangan daripada YDSM setelah kematian suami dua tahun lalu dan sangat membantu saya membuat persiapan Aidilfitri dengan lima anak yang berusia lingkungan 8 tahun hingga 19 tahun.
“Setiap kali Ramadan, memang rakyat tahu Sultan Mizan proaktif menyampaikan pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan dan saya berdoa agar baginda sentiasa sihat serta dapat terus memerintah negeri ini dengan adil dan mengikut syariat Islam sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Seorang pelajar sekolah pondok, Muhammad Adam Danial Azman, 15, berkata, kemurahan hati Sultan Mizan kepada golongan susah, anak yatim, ibu tunggal dan pelajar terserlah menerusi pelbagai bantuan yang disalurkan melalui YDSM.
“Alhamdulillah, saya juga terpilih menerima kurniaan Sultan Mizan untuk hari raya Aidilfitri kali ini. Dapatlah saya membeli barangan yang dihajatkan selama ini dengan wang tersebut,” katanya yang berharap lebih banyak program kebajikan diadakan YDSM melibatkan sekolah pondok dan maahad tahfiz di seluruh Terengganu untuk menjana ekonomi dan berdikari melalui projek pertanian dan perniagaan.
Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir,
Muhammad Faruqi Fauzi, 17, pula berkata, dia begitu teruja apabila menerima sumbangan tersebut dari YDSM yang dinaungi Sultan Mizan dan menganggap momen itu sebagai kenangan indah dalam hidupnya.
“Sultan Mizan adalah sultan kesayangan rakyat kerana baginda sangat menitikberatkan pendidikan agama dari usia kanak-kanak hingga warga emas dan telah menjaga hal ehwal Islam di negeri Terengganu selama ini dengan baik.
“Sebagai generasi muda, sudah pastilah saya mendoakan agar Sultan Mizan terus mengukuhkan perpaduan umat Islam di negeri ini dengan sempurna agar Terengganu menjadi negeri yang membangun mengikut model acuan Islam yang mendapat rahmat dari Allah SWT, ” katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd. Fadzli Yusof berkata, yayasan itu memperuntukkan lebih RM700,000 sepanjang Ramadan lalu untuk mengimarahkan masjid dan surau serta memberi sumbangan kepada golongan fakir miskin di negeri itu.
Menurutnya, golongan miskin dan berpendapatan sederhana sangat terkesan dengan kemelesetan ekonomi yang melanda dunia ketika ini dan berharap sedikit sumbangan yang disediakan itu dapat menceriakan mereka seterusnya merayakan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran.
“Ini adalah selaras dengan matlamat utama YDSM dalam membantu ke arah mempertingkatkan sosio ekonomi rakyat melalui pelbagai projek amalnya seperti yang dihasratkan Sultan Mizan,” katanya. – UTUSAN