Raja Perlis selamat jalani pembedahan

Raja Perlis selamat jalani pembedahan, Pemangku Raja zahirkan terima kasih kepada rakyat

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama Dr. Noor Hisham Abdullah serta Dr. Mohammad Khairol Anwar Yusop di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan terima kasih kepada seluruh rakyat jelata terutamanya di negeri Perlis serta semua kaum kerabat dan juga sahabat handai yang sama-sama mendoakan kehadapan Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesembuhan segera ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang telah menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada tengahari semalam.

Baginda juga turut menzahirkan setinggi penghargaan buat barisan pakar perubatan, kakitangan petugas kesihatan, warga kerja Hospital Putrajaya (HPj) dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan urusan rawatan dan pembedahan Tuanku Raja Perlis dapat berjalan dengan selamat, lancar dan sempurna.

Tuanku Syed Sirajuddin telah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada 1hb April 2023. Pembedahan bermula pada jam 12.00 tengah hari dan telah mengambil masa selama enam jam 40 minit. Baginda telah menerima pembiusan setempat (Regional Anaesthesia) sepanjang tempoh pembedahan tersebut.

Pembedahan Tuanku Raja Perlis telah dijalankan bersama oleh empat orang Pakar Perunding Ortopedik dan tiga orang Pakar Perunding Anestesia.

Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan dan Syukur Alhamdulillah selesai dengan jayanya tanpa sebarang masalah pada pukul 6.40 petang.

Berada sama di hospital pada malam semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Pengarah (Endokrin) Hospital Putrajaya; Dr. Mohammad Khairol Anwar Yusop.

Menurut Dr. Noor Hisham, terkini Tuanku Raja Perlis berada dalam keadaan yang stabil dan terkawal.

Namun begitu baginda masih dalam pemerhatian rapi oleh doktor- doktor pakar yang ditugaskan.

Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Tuanku Pemangku Raja dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berada di HPj ketika pembedahan dilaksanakan.

Seluruh rakyat juga dipohon agar terus mendoakan kesembuhan buat Tuanku Raja Perlis, berkekalan di bawah ri’ayah yakni pemeliharaan dan jagaan Allah SWT.

Pada masa yang sama, Pemangku Raja Perlis bertitah mendoakan agar negeri dan rakyat Perlis yang tercinta akan sentiasa terpelihara daripada segala mara bahaya dan dikurniakan kemakmuran berpanjangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya