KUALA LUMPUR: Jumlah mutaah yang tinggi dan kes saman terhadap Ira Kazar menjadi penghalang kepada ‘perdamaian’ di antara Puteri Sarah Liyana dan pengarah, Syamsul Yusof.
Pasangan itu hari ini sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai pada pertemuan berbuka puasa 9 April lalu.
Syamsul juga dijangka akan melafazkan talak terhadap Sarah pada hari ini.
Bagaimanapun, selepas kes disebut, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sarah memaklumkan draf penyelesaian itu tidak dapat ditandatangani selepas mereka gagal mencapai persetujuan.
Peguam syarie, Azmi Rais yang mewakili Syamsul memaklumkan Sarah telah meminda beberapa terma dalam draf persetujuan tersebut.
“Bila diserahkan draf persetujuan, kami dapati terdapat perubahan antaranya plaintif (Sarah) masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya.
“Sarah juga meminta jumlah mutaah yang tinggi yang tidak dapat dipersetujui oleh defendan (Syamsul),” ujar peguam itu. – UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL